MSU perkasa agenda kelestarian menerusi simposium SDG-ESG

zatuliffah@hmetro.com.my

Shah Alam: Usaha memperkasa agenda kelestarian terus diperkukuh apabila Management and Science University (MSU) bersama Times Higher Education (THE) menganjurkan SDG-ESG Synergy Symposium: Leading Change for People, Planet and Prosperity baru-baru ini.

Simposium yang berlangsung selama dua hari bermula 3 September lalu di Performing Arts Theatre (PAT), kampus induk MSU di sini, menghimpunkan pemimpin dan pakar daripada institusi pendidikan tinggi Malaysia dan antarabangsa, kerajaan, industri serta pemegang taruh bagi membincangkan peranan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan prinsip alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).

Perbincangan memberi tumpuan kepada bagaimana SDG dan ESG dapat digembleng secara bersama bagi memacu perubahan yang bermakna dan mampan selain membincangkan peningkatan permintaan terhadap kompetensi berkaitan ESG.

Simposium itu turut menekankan peranan universiti dan industri dalam menyediakan graduan untuk menghadapi persekitaran pekerjaan yang semakin menitikberatkan aspek kelestarian.

Komitmen MSU terhadap agenda berkenaan diterjemahkan menerusi 950 inisiatif berkaitan SDG yang didokumentasikan antara 2022 hingga 2025 termasuk 81 projek antarabangsa dan membabitkan 92,000 pembabitan komuniti.

Menerusi Community Outreach Programme (COP), MSU turut menyantuni 2,408 keluarga dari 2023 hingga 2025 selain menyediakan biasiswa berjumlah RM50 juta melalui Yayasan MSU setiap tahun bagi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti selain program vaksinasi Covid-19 yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 individu pada 2021.

Simposium berkenaan dirasmikan Presiden dan Pengasas MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid manakala Pro-Canselor MSU, Prof Emeritus Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang turut hadir dan terbabit dalam sesi yang memberi tumpuan kepada tadbir urus berimpak.

Antara pembicara lain ialah Presiden bagi rantau Asia-Pacific (APAC) Times Higher Education, Mei Mei Lim; Pengarah Bahagian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Industri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Shireen Jasmin Ali; Pengarah Urusan, Strategi dan Operasi AFFIN Group, Jozaimah Johan Ali; Pengarah Eksekutif Tanggungjawab Sosial dan Penglibatan Sivik, University of Manchester, Dr Julian Skyrme serta Pro-Naib Canselor Western Sydney University, Prof Dr Amir Mahmood.

Naib Presiden Penyelidikan MSU, Prof Dr Norfilza Mohd Mokhtar dan Naib Presiden Kanan Jaringan Industri dan Keusahawanan MSU, Prof Dr Abdul Jalil Ghazali turut menyumbang input dalam simposium itu bersama pakar kelestarian dan tadbir urus daripada Universiti Sains Malaysia, sektor kesihatan serta pihak berkuasa tempatan.

Berteraskan subtema amalan ESG, impak alam sekitar, impak sosial dan impak tadbir urus, program itu merangkumi sesi tadbir urus berimpak, plenari kelestarian, segmen impak sosial dan alam sekitar serta perbincangan meja bulat.

Komitmen MSU terhadap agenda berkenaan turut terserlah menerusi pencapaian dalam Times Higher Education Sustainability Impact Rankings 2026 apabila menduduki tangga ke-88 dunia selain berada di kedudukan ketiga dunia bagi SDG 5 (Kesaksamaan Gender), ke-29 bagi SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), ke-39 bagi SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan ke-66 bagi SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat).

Simposium itu turut mencerminkan komitmen MSU dalam pendidikan holistik, penyelidikan gunaan, pembabitan industri dan kerjasama antarabangsa menerusi pendekatan pembelajaran yang menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan dunia sebenar.

Pada masa sama, usaha melahirkan graduan yang kompeten dan berfikiran global terus diberi penekanan menerusi kerjasama antara universiti, kerajaan dan industri khususnya dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran alam sekitar dan sosial serta memperkukuh amalan tadbir urus yang bertanggungjawab.

Penekanan MSU terhadap pembangunan graduan yang seimbang, kompeten dan berfikiran global turut menyokong fokus simposium terhadap kepimpinan yang bertanggungjawab manakala akademia, kerajaan dan industri pula terus menggalakkan inovasi, kemajuan inklusif serta kerjasama dalam menterjemahkan komitmen terhadap kelestarian kepada impak yang bermakna.

Menerusi SDG-ESG Synergy Symposium, MSU terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian, kerjasama berimpak dan tadbir urus bertanggungjawab, selain menyokong agenda global demi manusia, planet dan kemakmuran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top