Kuala Lumpur: Semua kru operasi aktif AirAsia Malaysia dan AirAsia X Malaysia didapati negatif dadah selepas saringan yang dijalankan sebagai sebahagian daripada protokol kesihatan dan keselamatan syarikat penerbangan itu.
Menurut AirAsia Group, sebelum ini dikenali sebagai AirAsia X Bhd dalam kenyataan hari ini, saringan itu membabitkan semua kru operasi yang aktif, terdiri daripada juruterbang dan kru kabin kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Kapten Suresh Bangah berkata, semua juruterbang dan kru kabin tertakluk kepada syarat kesihatan yang ketat termasuk ujian dadah dan alkohol secara berkala sebagai sebahagian daripada rangka kerja keselamatan yang ditetapkan kumpulan itu.
“Keselamatan adalah asas kepada segala-galanya di AirAsia dan kami tidak bertolak ansur terhadap penggunaan dadah,” katanya, sambil menambah saringan itu akan memastikan semua kru operasi layak menjalankan tugas masing-masing dengan selamat dan profesional.
Beliau berkata syarikat penerbangan itu akan terus mengekalkan piawaian ketat ini dalam seluruh operasinya selaras dengan keperluan kawal selia yang terpakai dan amalan terbaik industri.
© New Straits Times Press (M) Bhd

