PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon memuji semangat dan komitmen tinggi para pemain The Red Giants selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Menurut Pan-gon, kemenangan dalam aksi Derbi Lembah Klang itu cukup bermakna apabila anak buahnya berjaya mendominasi dan mengawal permainan biarpun berdepan jadual perlawanan yang padat sejak beberapa minggu lalu.
“Saya fikir apa yang dilakukan pemain malam ini merupakan satu persembahan hebat untuk memberikan aksi yang baik kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada Red Giants.
“Suasananya sangat baik. Cuma kami agak lewat menjaringkan gol dan itu sedikit mengecewakan kerana kami cuba mendapatkan gol awal, mendominasi serta mengawal permainan.
“Itulah karakter Selangor. Saya menghargai apa yang dilakukan pemain malam ini. Sejak dua atau tiga minggu lalu, kami berdepan jadual yang sangat padat.
“Sepatutnya kami sangat keletihan, tetapi semangat mereka mengatasi keadaan itu. Saya menghargai segala yang dilakukan pemain malam ini,” katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Selangor membuka jaringan menerusi pemain sayap A. Selvan pada minit ke-25 untuk mendahului pada separuh masa pertama.
Pemain import, Chrigor Moraes menggandakan kelebihan pada minit ke-51 sebelum seorang lagi awang import, Eduardo Sosa melengkapkan kemenangan tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-73.
Bagaimanapun, pengendali dari Korea Selatan itu mengakui aspek penyudah masih perlu diperbaiki selepas Selangor mensia-siakan beberapa peluang untuk menghasilkan lebih banyak jaringan.
Menurutnya, kemampuan menyempurnakan peluang terutama pada peringkat awal permainan penting sekiranya Selangor mahu menjadi pasukan lebih baik dan mencabar kedudukan teratas liga.
“Bahagian itu perlu kami perbaiki. Apabila mendapat peluang, kami perlu mempunyai kebiasaan untuk menyempurnakannya.
“Pada awal permainan, kami sudah mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Mendapatkan gol awal sangat penting dan selepas gol pertama, tabiat untuk terus mendapatkan gol kedua juga penting.
“Kadangkala jumlah jaringan yang kami peroleh tidak menggambarkan persembahan kami. Jika mahu menjadi pasukan lebih baik dan mencabar kedudukan terbaik, kami mesti memperbaiki aspek ini,” katanya.
Sementara itu, Pan-gon turut memuji persembahan pemainnya termasuk Sosa yang disifatkan bekas pengendali Harimau Malaya berkenaan sebagai pemain yang memiliki kreativiti untuk menjadikan corak permainan Selangor lebih dinamik.
“Sosa sentiasa seorang pemain yang disenangi dan sangat menarik. Apabila dia menerima bola, kita dapat melihat kreativitinya dan dia mampu menggembirakan penyokong.
“Karakter seperti ini sangat penting kepada kami. Kami memang mencari karakter seperti ini dan akhirnya kami memilikinya untuk menjadikan corak permainan lebih dinamik.
“Bukan Sosa sahaja, semua pemain beraksi dengan baik malam ini,” katanya.
Mengenai kepadatan jadual perlawanan, Pan-gon berkata, status Derbi Lembah Klang memberikan motivasi tambahan kepada pemain untuk bekerja lebih keras memburu kemenangan.
“Perlawanan malam ini adalah Derbi Lembah Klang. Kami dapat merasakan keinginan dan semangat yang sangat tinggi untuk memenangi perlawanan ini serta menggembirakan penyokong Selangor.
“Ini bukan perlawanan biasa, sebaliknya satu perlawanan istimewa. Saya fikir pemain memberikan usaha berganda untuk memenangi Derbi Lembah Klang.
“Saya sangat bangga dengan pemain kerana reaksi mereka sangat baik. Saya sangat gembira dan berharap penyokong kami juga gembira malam ini,” katanya.
