Kuala Lumpur : Sempena Tahun Melawat Malaysia, O SENTAI merancang memanfaatkan permainan papan ciptaannya, Winner of Delicacies, bagi mempromosikan budaya kulinari Malaysia serta membangunkan pengalaman pelancongan makanan yang lebih menarik.
Menurut Pengasas O SENTAI, Foo Ching Yee, Winner of Delicacies sudah terjual lebih daripada 1,200 set sejak mendapat pengiktirafan di Pertandingan Pemulihan Pelancongan Selangor 2023.
Katanya, permainan ini disertai hampir 10,000 orang sepanjang empat tahun menerusi sekolah, program komuniti, aktiviti keluarga, latihan korporat dan pelbagai inisiatif pendidikan.
“Berteraskan budaya makanan Malaysia, permainan papan ini menampilkan 38 kad makanan unik yang membolehkan peserta mengenali hidangan tempatan sambil meneroka ciri-ciri kulinari mengikut negeri, kaum dan rantau.
“Ia sekali gus memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan makanan negara yang kaya,” katanya.
Tambahnya, Winner of Delicacies boleh didapati di lebih 20 lokasi runcit kebudayaan, kreatif dan cenderamata di seluruh negara merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Sabah. Ini membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia serta pelawat antarabangsa meneroka warisan makanan berbilang budaya di negara ini secara santai dan interaktif.
Maklum balas daripada peserta membolehkan O SENTAI melihat potensi baharu dalam pendidikan makanan.
Menerusi pengalaman pertama mereka bersama Winner of Delicacies, peserta menjadi lebih peka terhadap kepelbagaian budaya kulinari antara pelbagai kaum di Malaysia dan mula meneroka hidangan popular dari pelbagai negeri.
Menurut Foo, O SENTAI berharap peserta tidak sekadar mengetahui nama sesebuah hidangan, sebaliknya turut memahami asal usulnya, punca ia berkembang di sesuatu tempat, serta kehidupan masyarakat dan alam sekitar di sebaliknya.
Jelas sekali, pendidikan makanan tidak sepatutnya berlaku di dalam bilik darjah sahaja kerana ia perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
Sejak empat tahun lalu, O SENTAI secara berterusan memperluas aplikasi pendidikan makanan menerusi kerjasama merentas sektor.
Bermula dengan aktiviti pendidikan dan keluarga, inisiatifnya berkembang ke universiti, sekolah, tadika, syarikat perniagaan, sektor pelancongan, komuniti dan program kelestarian sekali gus menjadikan makanan sebagai medium yang menghubungkan pelbagai bidang.
Rangkaian kerjasama O SENTAI kini merangkumi agensi kerajaan, institusi pendidikan, syarikat perniagaan dan organisasi sosial seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), INTI International University & Colleges, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tourism Selangor, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Sekolah Antarabangsa Tzu Chi, Fatimas, Hock Soon, Biogreen, Etblisse, RE Sustainable Enterprise dan Eco Lestari Strategy.
Di peringkat sekolah, O SENTAI membawa pembelajaran pengalaman ke dalam bilik darjah untuk mendedahkan murid kepada isu pemakanan, kulinari tempatan dan alam sekitar menerusi permainan.
Bagi aktiviti keluarga dan komuniti pula, makanan menjadi pendorong interaksi rentas generasi.
Kerjasama dengan organisasi pelancongan dan kebudayaan membolehkan O SENTAI meneroka model “pendidikan makanan + pelancongan budaya”.
O SENTAI berharap makanan boleh menjadi lebih daripada sekadar pengalaman kulinari sekal gus mampu menjadi ‘jendela’ untuk pelawat tempatan dan antarabangsa mengenali Malaysia.
Penglibatan dalam sektor korporat dan kelestarian pula membawa pendidikan makanan ke luar persekitaran sekolah menerusi bengkel dan aktiviti interaktif yang mengupas isu pemakanan sihat, pembaziran makanan, kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial.
“Kami sangat berterima kasih kepada agensi kerajaan, institusi pendidikan, syarikat perniagaan dan rakan komuniti yang sudi meneroka potensi ini bersama O SENTAI.”
“Walaupun berasal daripada sektor berbeza, kita mampu menemui ‘bahasa bersama’ menerusi makanan. Inilah sebabnya kami berharap dapat membina ekosistem pendidikan makanan yang lebih luas dalam fasa seterusnya.” jelas Foo.
Memasuki tahun keempat, O SENTAI berhasrat menyusun kandungan pendidikan, rangkaian kerjasamanya, serta model pembelajaran secara lebih sistematis bagi membina ekosistem pendidikan makanan yang menyeluruh.
Ekosistem ini akan menghubungkan pembangunan permainan dan kurikulum, penghasilan makanan dan produk, pengalaman alam semula jadi, pelancongan budaya, serta aktiviti komuniti.
Pada masa hadapan, Winner of Delicacies bukan lagi sekadar permainan papan, sebaliknya bertindak sebagai pintu masuk ke dalam ekosistem yang lebih luas ini.
Bagi O SENTAI, makanan bukan sahaja sesuatu yang dimakan, malah merupakan medium untuk memahami budaya, menghubungkan sesama manusia dan menghargai alam sekitar.
Umpamanya 38 kad asal Winner of Delicacies sebagai ‘benih’ yang diharapkan akan terus membesar.
© New Straits Times Press (M) Bhd

