SHAH ALAM – Semua parti politik Melayu diingatkan agar tidak membiarkan sifat ego dan sengketa lama menjadi penghalang kepada usaha penyatuan ummah menerusi penganjuran Himpunan Sejuta Umat.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, kesediaan UMNO dan Pas untuk membuka pintu perpaduan perlu disambut baik dan parti-parti lain harus bersedia untuk sama-sama melangkah masuk.
“Yang lain juga perlu bersedia melangkah masuk. Jangan tutup pintu itu hanya kerana ego dan sejarah lama.
“Kalau setiap kali hendak bersatu kita buka semula buku sengketa lama, sampai bila-bila pun kita tidak akan bersatu,” katanya menerusi hantaran media sosial pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pada Sabtu bahawa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh diberi mandat untuk menggerakkan Himpunan Perpaduan Ummah dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam di seluruh negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat tersebut diberikan selepas mendapat persetujuan para perwakilan menerusi undian suara.
Ujarnya, mandat yang diberikan adalah bagi menggerakkan Himpunan Perpaduan Ummah, termasuk menjalinkan kerjasama dengan Pas serta mengadakan jelajah ke seluruh negeri sebelum kemuncaknya di peringkat pusat.
Selain itu, Rafique berkata, pintu perpaduan itu perlu dibuka kepada semua pihak yang mahu melihat perpaduan Melayu dan Islam dibina semula.
“Orang Melayu sudah terlalu lama berpecah. Ada dalam UMNO, Pas, Pejuang, Wawasan, Bersatu dan parti-parti lain.
“Parti berbeza kerana sejarah dan pendekatan yang berbeza tapi kita masih bangsa yang sama, agama yang sama dan tanah air yang sama.
“Kita pernah lihat apa yang berlaku bila orang Melayu bersatu. Kita juga sedang lihat apa yang berlaku bila orang Melayu memilih untuk terus berpecah,” katanya.
Tambah Rafique, Pejuang menyokong penuh cadangan himpunan berkenaan, namun mengingatkan agar inisiatif tersebut tidak sekadar menjadi himpunan antara UMNO dan Pas semata-mata.
Menurutnya, apa yang diperlukan ialah kesanggupan mengenepikan sedikit kepentingan sendiri untuk kepentingan yang jauh lebih besar.
“Sejuta orang berhimpun memang besar. Tapi angka sejuta tak bawa apa-apa makna jika selepas bersurai kita kembali mencaci, menjatuhkan dan mengkhianati satu sama lain.
“Jadikan himpunan ini permulaan kepada sesuatu yang lebih besar, satu kesedaran bahawa perbezaan parti tidak semestinya menjadikan kita musuh,” katanya.
