Tokyo: East Japan Railway (JR East) memperkenalkan robot tong sampah mudah alih yang akan bergerak di dalam Stesen Shinjuku bagi membantu mengatasi masalah kekurangan tong sampah yang sering mengelirukan pelawat ke Jepun, lapor Japan Today.
Robot itu akan bergerak secara automatik di ruang laluan bawah tanah aras pertama Stesen Shinjuku, termasuk di dalam pintu tiket Timur, Barat, Timur Tengah dan Barat Tengah.
Difahamkan, setiap robot direka menyerupai kereta api dengan mata besar di bahagian hadapan bagi menarik perhatian orang ramai serta sentuhan kecil yang merujuk kepada Shinjukuma, watak beruang Stesen JR Shinjuku, pada bahagian luarnya.
Robot berkenaan mempunyai bukaan pada bahagian sisi yang membolehkan orang ramai membuang sampah ketika ia bergerak melalui ruang laluan berkenaan.
Robot itu adalah robot penghantaran autonomi yang mampu bergerak di dalam dan luar bangunan, dibangunkan oleh syarikat Amerika Syarikat (AS), Cartken serta dikendalikan Melco Mobility Solutions dan Mitsubishi Electric.
JR East dalam kenyataan berkata, percubaan itu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan di stesen selain menjadikan kerja pembersihan lebih cekap.
Katanya, percubaan itu turut menguji sama ada robot berkenaan mampu bergerak dengan selamat dalam kesesakan orang ramai di Stesen Shinjuku yang terkenal dengan susun aturnya yang luas dan berliku-liku.
Menurut JR East, ujian berkenaan akan menilai keupayaan robot bergerak menggunakan sensor dan teknologi lain yang dipasang padanya, termasuk masalah yang mungkin timbul apabila stesen itu sesak.
“Kami juga akan menilai sama ada robot itu menjejaskan pergerakan penumpang melalui ruang laluan dan sejauh mana orang ramai menerima penggunaan robot tong sampah mudah alih di dalam stesen,” katanya.
Stesen Shinjuku dikenali sebagai stesen kereta api paling sibuk di dunia, sekali gus menjadikan lokasi itu persekitaran paling mencabar untuk percubaan robot berkenaan.
Jika robot itu berjaya beroperasi dalam keadaan berkenaan, JR East mungkin memperluaskan penggunaannya ke lebih banyak stesen di Jepun pada masa depan.
Buat masa ini, percubaan itu dijadualkan berlangsung pada hari bekerja dari jam 10 pagi hingga 5 petang sehingga 20 November di ruang laluan bawah tanah aras pertama Stesen Shinjuku.
© New Straits Times Press (M) Bhd

