Pekerja perkhidmatan air diwajibkan jalani latihan keselamatan WiSP mulai 2028

nuratikah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pekerja dalam industri perkhidmatan bekalan air dan pembetungan bakal diwajibkan menjalani latihan keselamatan menerusi pengenalan ‘Water Industries Safety Passport’ (WiSP) mulai 2028.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata WiSP adalah usaha sulung hasil kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dalam industri perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Ini adalah salah satu gerakan atau inisiatif sulung daripada NIOSH untuk kita memperkemaskan lagi dan mengiktiraf betapa pentingnya WiSP supaya ia bukan sahaja dianggap sebagai satu pasport demi kelangsungan OSH, tetapi juga dikembangkan kepada industri lain.

“Ini adalah pemangkin supaya industri lain turut melihat betapa pentingnya elemen OSH dari setiap sudut untuk dimainkan, diperbaiki dan dibangunkan bersama NIOSH serta pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan WiPS sempena Majlis Peluncuran Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2026), di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut kenyataan SPAN, WiSP dibangunkan selaras dengan Seksyen 15(2)(c), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) iaitu tanggungjawab majikan menyediakan latihan mencukupi bagi memastikan pekerja menjalankan tugas dengan selamat.

Katanya, pembangunan WiSP membabitkan pegawai keselamatan daripada semua operator bekalan air dan pembetungan di bawah seliaan SPAN serta pegawai SPAN.

“Modul ‘Water Safety Passport’ Air Selangor dan IWK Safety Passport dijadikan teras serta rujukan dalam pembangunan modul WiSP menerusi tiga siri bengkel dilaksanakan bagi memurnikan modul, membangunkan bank soalan dan menyediakan tenaga pengajar WiSP.

“Modul WiSP pula merangkumi lima topik iaitu pengenalan kepada WiSP; undang-undang keselamatan, kesihatan dan alam sekitar; hazard dan kawalan risiko di tempat kerja; kaedah kerja selamat (Safe Work Method) serta tindakan kecemasan,” katanya.

Menurutnya, seramai 54 tenaga pengajar daripada NIOSH, operator dan SPAN diiktiraf NIOSH bagi mengendalikan WiSP di seluruh negara setakat 1 September lalu.

SPAN berkata, latihan WiSP yang dikendalikan NIOSH akan dilaksanakan selama sehari atau lapan jam, diikuti penilaian kefahaman menggunakan set soalan khusus WiSP.

“Individu yang lulus akan diberikan kad WiSP oleh NIOSH dan ia menjadi prasyarat untuk memasuki tapak kerja seperti loji rawatan, tangki simpanan serta zon paip utama.

“Bagi yuran latihan, ia ditetapkan RM194.40 seorang dan WiSP ini sah selama dua tahun serta disertakan perlindungan insurans,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top