Penyertaan MRCC 2026 melonjak! MOSTI gilap bakat muda, minat teknologi angkasa makin menyerlah

Penyertaan MRCC 2026 melonjak! MOSTI gilap bakat muda, minat teknologi angkasa makin menyerlah

Seramai 650 pelajar daripada 130 pasukan menyertai Malaysia Rocket CanSat Competition (MRCC) 2026, meningkat ketara berbanding 126 pelajar daripada 63 pasukan pada 2024.

Pengarah Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, peningkatan itu menunjukkan pertambahan minat generasi muda terhadap bidang roket dan teknologi angkasa.

“Ini sememangnya satu pencapaian yang amat membanggakan. Ia bukan sahaja menunjukkan peningkatan minat generasi muda terhadap bidang roket dan teknologi angkasa, malah mencerminkan komitmen tinggi para pendidik, mentor, institusi serta rakan strategik dalam melahirkan generasi bakat teknologi angkasa pada masa hadapan,” katanya.

Penyertaan MRCC 2026 melonjak! MOSTI gilap bakat muda, minat teknologi angkasa makin menyerlah

Menurutnya, jumlah penyertaan tahun ini meningkat lebih 100 peratus bagi jumlah pasukan, manakala jumlah pelajar pula mencatatkan peningkatan lebih 400 peratus berbanding 2024.

Beliau berkata, perkembangan itu turut berlaku seiring dengan peningkatan keupayaan Malaysia dalam bidang teknologi angkasa.

“Pada 3 Februari 2026, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mencipta sejarah apabila berjaya melancarkan satelit-nano keduanya, UiTMSAT-2 dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) ke orbit rendah Bumi,” katanya lagi.

Menurutnya, UiTMSAT-2 ialah satelit nano CubeSat yang membawa kamera pemerhatian Bumi sebagai misi utama, selain misi Internet Pelbagai Benda (IoT) berasaskan angkasa.

Pencapaian itu membuktikan Malaysia mempunyai keupayaan untuk membangunkan dan mengendalikan teknologi angkasa sendiri, selain menyokong usaha melahirkan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang berkenaan.

“Pencapaian tersebut selari dengan usaha membangunkan bakat berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan masa hadapan dalam bidang sains, teknologi dan sektor angkasa sebagaimana yang digariskan dalam Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN 2030),” ujarnya.

MRCC 2026 dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara dengan kerjasama High Energy Material Research Laboratory (HEMREL) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam.

Pertandingan itu merupakan kesinambungan program teknologi roket yang bermula pada 2004 menerusi Pertandingan Teknologi Pelancaran (PTPR), sebelum dijenamakan sebagai Kejohanan Roket Kebangsaan (KRK).

Kerjasama bersama HEMREL dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam tahun ini menyaksikan KRK berkembang kepada MRCC 2026.

Scroll to Top