Kuala Lumpur: PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali) menerusi anak syarikat milik penuhnya, PC JDA Limited (PC JDA) memperkukuhkan portfolio strategiknya menerusi kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) baharu bagi Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).
MTJDA yang merangkumi kawasan seluas kira-kira 7,250 kilometer persegi mempunyai gabungan kapasiti pengeluaran gas asli sekitar 700 juta kaki padu standard sehari.
Menurut PETRONAS Carigali dalam kenyataan, MTJDA merangkumi Blok A-18-01 dan B-17-01, dengan pengeluaran gas daripada kedua-dua blok itu diagihkan sama rata antara Malaysia dan Thailand.
Ini bermakna, berdasarkan kapasiti pengeluaran berkenaan, kira-kira 350 juta kaki padu standard sehari diperuntukkan kepada setiap negara.
Perkembangan terbaharu menyaksikan PC JDA Ltd (PC JDA), anak syarikat milik penuh PETRONAS Carigali Sdn Bhd, bersama PTTEP JDX Thailand Ltd Co dan PTTEP JDX Thailand (JDA) Ltd menerima kelulusan kerajaan Malaysia dan Thailand bagi PSC baharu Blok A-18-01.
Pihak terbabit turut memeterai GSA dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan PTT Public Company Ltd bagi menyokong kesinambungan bekalan gas asli dari blok berkenaan kepada kedua-dua negara.
Pertukaran perjanjian yang dimeterai pada 14 September 2026 itu menandakan kemuncak kerjasama antara MTJA, PC JDA dan PTTEP JDX dalam mewujudkan kerangka kontrak baharu bagi pembangunan berterusan Blok A-18.
Kerangka baharu itu mengambil kira kesinambungan pembangunan Blok A-18 selepas PSC semasa tamat pada 20 April 2029, selain menggabungkan kawasan penerokaan bersebelahan yang mempunyai potensi sumber tambahan.
PSC baharu Blok A-18-01 mempunyai tempoh 35 tahun bermula 1 Januari 2026, merangkumi kawasan Blok A-18 sedia ada serta kawasan tambahan berkenaan.
PETRONAS berkata, pendekatan bersepadu itu menyediakan platform untuk mengekalkan pengeluaran, meneroka potensi sumber tambahan dan mengoptimumkan pembangunan jangka panjang blok berkenaan.
Pengarah PC JDA, Ainoor Abizzurin Abdullah berkata, kelulusan PSC baharu itu membuka fasa seterusnya pembangunan Blok A-18-01 serta mencerminkan kerjasama berterusan antara Malaysia dan Thailand.
“Sebagai sumber utama gas asli dan kondensat kepada kedua-dua negara, pencapaian ini memperkukuh komitmen bersama untuk memaksimumkan nilai menerusi peningkatan pengewangan sumber dan sinergi operasi,” katanya.
Blok A-18-01 merangkumi medan gas Cakerawala, Bumi, Suriya, Bulan, South Bulan, Senja, East Bumi, Samudra dan Wira, termasuk kawasan terbuka.
Sementara itu, Blok B-17-01 merangkumi medan Muda, Tapi, Tanjung, Amarit, Jengka, Melati dan Andalas.
PETRONAS berkata, PSC baharu itu memperkukuh komitmen PETRONAS Carigali untuk terus melabur dalam aset strategik serta mengejar pertumbuhan mampan bagi menyokong keselamatan tenaga serantau.
© New Straits Times Press (M) Bhd


