SEBANYAK 48 pasukan sekolah bawah 15 tahun dari seluruh Selangor bakal bersaing dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Jubli Perak Sultan Selangor bersempena dengan sambutan Jubli Perak 25 Tahun pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, kejohanan berkenaan bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform untuk mengenal pasti bakat muda dalam pembangunan bola sepak negeri.
“Dari satu sudut ini adalah pertandingan dan juga masa depan bola sepak Selangor.
“Bakat memang banyak dan kita mahu melihat pemain terbaik untuk diserap seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tajaan Kejohanan Bola Sepak Piala Jubli Perak Sultan Selangor Tahun 2026 bernilai RM500,000 di Dewan Karangkraf di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir; Pengarah Pendidikan negeri, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim; Pengurus Besar Korporat Syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Mohammad Nizam Yaacob; Ketua Bahagian Pembangunan Sukan MILO, Lim Ker Win serta Pengasas dan Pengerusi Bersama Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Sebanyak 48 pasukan sekolah bawah 15 tahun dari seluruh Selangor bakal berentap pada Kejohanan Piala Jubli Perak Sultan Selangor yang akan bermula 22 September ini. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Menurut Ahmad Fadzli, usaha pembangunan sukan negeri perlu dilihat secara lebih menyeluruh termasuk aspek kemudahan sukan, ekosistem pembangunan atlet dan sokongan perubatan dalam kalangan pemain muda.
“Kita perlu lihat bagaimana kita boleh bantu lagi, fokus kerja itu memang ada, cuma bagaimana kita mahu menambah baik agenda sukan dan pada masa sama membangunkan kemudahan serta ekosistem sukan.
“Kita juga perlu fikir hala tuju dan langkah seterusnya supaya sokongan kepada pembangunan sukan negeri menjadi lebih baik,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pelajar, guru dan penyokong supaya tidak keterlaluan dalam menunjukkan sokongan selain berharap kemeriahan kejohanan berlangsung dalam keadaan terkawal.
Sementara itu, Emran berkata, Piala Jubli Perak merupakan satu piala khas yang akan disumbangkan oleh Sultan Sharafuddin.

Kejohanan berkenaan bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform untuk mengenal pasti bakat muda dalam pembangunan bola sepak negeri.
“Selepas pertandingan akhir, juara akan dibenarkan simpan di sekolah dalam tempoh tertentu sebelum diletakkan di Galeri Bola Sepak Selangor di Istana Alam Shah, Klang.
“Piala iringan yang kita disediakan juga sama bentuk dengan Piala Jubli Perak akan disimpan oleh pasukan yang menjadi juara,” ujarnya.
Tambah beliau, kejohanan edisi khas yang menggunakan format seperti Piala Dunia itu menawarkan hadiah wang tunai RM12,000 kepada juara, RM9,000 bagi naib juara, manakala pasukan tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM7,000 dan RM5,000.
Kejohanan itu dijadual bermula 22 September, dengan perlawanan peringkat kumpulan berlangsung di 12 venue di seluruh Selangor
Baginda dijangka berangkat menyaksikan perlawanan pada grand finale yang dijadual berlangsung pada 31 Oktober di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).