Hari kedua SAR insiden Virgo 8 Transport, 129 masih hilang

JAKARTA – Pasukan penyelamat Indonesia meneruskan operasi pencarian 129 mangsa yang masih hilang dalam kejadian feri penumpang Virgo Transport 8 yang terbalik pada Isnin, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua di Laut Jawa berhampiran Kalimantan Selatan.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Mohammad Syafii berkata seramai 114 daripada 243 orang daripada feri berkenaan telah ditemukan setakat 10.36 pagi waktu tempatan, terdiri daripada 108 mangsa terselamat dan enam yang terkorban.

“Kami terus mengoptimumkan kesemua anggota dan aset SAR yang ada. Fokus utama kami adalah untuk mengesan dan menyelamatkan mangsa yang masih hilang, sambil memastikan keselamatan semua anggota yang menjalankan operasi,” katanya menerusi hantaran terbaharu di media sosial agensi itu.

Mohammad Syafii berkata seramai 655 anggota terdiri daripada Basarnas, tentera, polis, agensi kerajaan, sukarelawan dan unit SAR lain terlibat dalam operasi berkenaan, disokong oleh kapal, helikopter serta pesawat.

Beliau berkata kawasan pencarian yang sebelum ini dibahagikan kepada lapan sektor telah disusun semula kepada enam sektor bagi memfokuskan usaha mengesan mangsa yang masih hilang.

Virgo Transport 8, yang membawa 213 penumpang dan 30 anak kapal, terputus hubungan pada kira-kira 2 pagi Ahad semasa dalam pelayaran dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin di Kalimantan Selatan sebelum ditemukan terbalik.

Pihak berkuasa memaklumkan kapal berkenaan dipukul ombak dari sebelah kanan sebelum mula senget, manakala siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan. – Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top