Pemandu cedera, bas kilang terbabas dalam parit

am@hmetro.com.my

Georgetown: Pemandu bas kilang cedera selepas kenderaan itu terbabas ke dalam parit sedalam 10 meter berhampiran bulatan Tun Dr Awang, Bayan Baru di sini, hari ini.

Mangsa diberi rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Negeri John Sagun Francis berkata, pasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 6.01 petang.

Katanya, kerja penyelamatan segera sebaik tiba dan mangsa yang berusia 49 tahun berjaya dikeluarkan pada 6.29 petang.

“Mangsa diserah kepada petugas kesihatan untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut dan operasi tamat pada 6.37 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada waktu puncak dan anggota polis dari Balai Polis Bayan Baru bertindak mengawal lalu lintas.

Bas kilang terbabit yang tidak mempunyai penumpang itu dikatakan dari arah Queensbay menghala ke Relau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top