Ikan keli bertaburan kerana jatuh dari lori, bukan 'naik' ke darat

am@hmetro.com.my

Besut: Foto tular di media sosial menunjukkan ikan keli hidup bertaburan di atas jalan raya bukan disebabkan ia naik ke darat, sebaliknya terjatuh dari lori.

Perkara itu disahkan Hamimi Shahira Nor Sanadi, 29, adik ipar kepada pemilik ikan terbabit, dengan kejadian itu berlaku berhampiran sebuah sekolah menengah di Kampung Padang Luas, di sini, kira-kira 8 pagi semalam.

Katanya, ikan terbabit sepatutnya dihantar menggunakan lori ke sebuah kolam ikan baharu dibuka berhampiran kawasan Pelagat untuk tujuan pertandingan memancing.

“Pada awalnya pemandu lori tidak sedar ikan terjatuh, sehinggalah tiba di kolam sebelum dia berpatah balik.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori terlanggar bonggol jalan sebelum pagar lori pecah dan ikan bertaburan di atas,” katanya ketika dihubungi.

Hamimi berkata, orang awam turut membantu mengutip semula ikan dan menyerahkannya kepada pemandu lori sebelum semuanya selesai kira-kira jam 12 tengah hari.

“Tidak ada ikan mati dalam kejadian itu namun ikan diselamatkan kini diletakkan semula dalam kolam lain untuk menjalani proses pemulihan kerana ada yang cedera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top