am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Huruf H diumum sebagai Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, siri ‘H’ tidak pernah dikeluarkan dalam mana-mana siri sebelum ini.
“Kita menawarkan siri ‘H’ ini untuk dibida seluruh rakyat Malaysia dengan bidaan akan dibuka pada 16 September ini dan berakhir pada 20 September nanti.
“Siri ini adalah satu siri nombor pendaftaran yang saya rasakan sangat istimewa dan patut diambil peluang oleh rakyat Malaysia untuk membida dan mendapatkannya,” katanya pada Majlis Peluncuran NPI sempena Hari Malaysia 2026 di Menara 118, di sini, hari ini.
Aedy berkata, siri ‘H’ adalah sinonim kepada keharmonian masyarakat di negara ini.
“Sempena sambutan Hari Malaysia ini, kita menawarkan siri satu huruf solo terakhir dalam Malaysia… selepas ini, tidak ada lagi huruf solo yang akan ditawarkan oleh JPJ sebagai NPI,” katanya.
Menurutnya, JPJ berpandangan bahawa siri H bukan hak atau milik mana-mana pihak melainkan milik kerajaan untuk dimiliki rakyat Malaysia.
“Apabila kita berbincang bersama dengan Kementerian Pengangkutan, siri ‘H’ orang mungkin lihat seperti nombor pendaftaran teksi.
“Tetapi kalau dilihat dalam kaedah untuk siri-siri teksi, huruf H itu perlu dipasangkan dengan huruf (pendaftaran) negeri. Contohnya, kalau ‘HA’ adalah teksi yang didaftarkan di Perak,” katanya.
Aedy berkata, orang ramai boleh mendapatkan NPI berkenaan bermula dari H1 hingga H9999 dengan keputusan bidaan akan diumumkan pada 21 September ini.
Mengulas mengenai hasil penjualan NPI, beliau berkata, sebanyak RM143 juta sudah direkodkan bagi tempoh 2024 sehingga pertengahan tahun ini.
“Pada 2024, siri khas GOLD, FFF, EV, PETRA dan MADANI menjana jumlah keseluruhan lebih RM45 juta.
“Jumlah itu meningkat kepada lebih RM62 juta pada 2025 apabila beberapa siri khas diperkenalkan termasuk SIS, GM dan ANSARA.
“Bagi 2026, siri pendaftaran khas FH, P_P dan V_MY setakat ini menjana lebih RM38 juta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
