11 tahun berdendam, lelaki akhirnya dibunuh

JAKARTA – Seorang lelaki berusia 27 tahun didakwa merancang pembunuhan seorang nelayan selama sebulan selepas menyimpan dendam terhadap mangsa selama 11 tahun susulan kematian ibunya pada 2015.

Suspek dikenali sebagai AN ditahan selepas didakwa membunuh Muhammad Hasan, 46, di Dusun Pesisir Barat, Desa Dharma Camplong, Kecamatan Camplong, Sampang, Jawa Timur pada Khamis lalu.

Ketua Polis Sampang, AKBP Anang Hardiyanto berkata, suspek dipercayai menyimpan dendam sejak menyaksikan sendiri ibunya meninggal dunia akibat dianiaya Hasan pada 2015.

Menurutnya, Hasan pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkenaan sebelum dibebaskan, namun pembebasannya dipercayai mencetuskan semula niat suspek untuk membalas dendam.

“Suspek sengaja berpindah dan menetap di Sampang sejak Ogos 2026 untuk merancang pembunuhan itu,” katanya pada Jumaat.

Anang berkata, suspek tinggal kira-kira dua kilometer dari rumah mangsa dan menghabiskan masa selama sebulan memerhatikan rutin harian Hasan.

Suspek turut mengetahui lokasi kebiasaan mangsa meletakkan motosikal selepas pulang menangkap ikan.

Serangan berlaku kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan pada Khamis ketika Hasan baru pulang dari laut dan berjalan menuju motosikalnya sambil membawa hasil tangkapan.

Suspek yang bersembunyi berhampiran sebuah lori sebelum itu kemudian menyerang mangsa secara mengejut menggunakan senjata tajam.

Hasan mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan termasuk kepala, pipi, bahu dan pinggul sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian ditemukan penduduk yang segera memaklumkan kejadian kepada polis.

Pasukan Siasatan Jenayah (Satreskrim) Polres Sampang berjaya menahan AN kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan pada hari sama, hanya tujuh jam selepas kejadian.

“Suspek ditahan dalam tempoh tujuh jam. Buat masa ini, dia dipercayai bertindak seorang diri, namun siasatan masih diteruskan bagi menentukan sama ada terdapat individu lain yang terbabit,” katanya.

AN kini ditahan di Mapolres Sampang dan disiasat mengikut Pasal 459 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) berkaitan pembunuhan berencana.

Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun. – Agensi

Scroll to Top