Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan ‘versi AI’ Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang boleh berinteraksi dan menjawab pertanyaan rakyat dalam pelbagai bahasa.
Dikenali sebagai AI Digital Human, teknologi itu menampilkan wajah dan suara mirip Saifuddin serta boleh menjawab pertanyaan berkaitan dasar, inisiatif KDN dan agensi di bawah kementerian berkenaan.
Saifuddin berkata, interaksi itu tidak terhad kepada Bahasa Melayu apabila sistem berkenaan boleh berkomunikasi dalam 12 bahasa termasuk Mandarin, Arab, Jepun malah Tamil.
“Tanya sahaja dalam Bahasa Mandarin, bahasa Arab, bahasa Jepun… semua dia (AI) boleh jawab,” katanya selepas melancarkan inisiatif berkenaan di Putrajaya.
Menurut Saifuddin, AI Digital Human merupakan sebahagian daripada pendekatan AI for KDN, KDN for AI yang dibangunkan sejak tiga tahun lalu bagi memperluaskan penggunaan kecerdasan buatan dalam urusan kementerian.
Katanya, tahap kesiapsiagaan warga KDN untuk menerima dan menggunakan teknologi berkenaan kini sudah mencapai 75 peratus, dengan setiap agensi perlu menggerakkan penggunaan AI mengikut kesesuaian tugas hakiki masing-masing.
Beliau berkata, KDN sebelum ini turut menjadi kementerian pertama menggunakan AI untuk menyediakan draf awal jawapan kepada soalan Ahli Parlimen ketika sidang Dewan Rakyat sebelum ia disemak dan disahkan pegawai kementerian.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, penggunaan teknologi sama turut boleh diterapkan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), antaranya bagi membantu menyediakan draf awal kertas siasatan susulan kira-kira 400,000 laporan polis yang dibuat rakyat setiap bulan.
Bagaimanapun, jelas beliau, penggunaan AI itu bukan bermakna tugas berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada teknologi kerana draf tersebut masih perlu melalui semakan dan pengesahan pegawai penyiasat (IO) berpangkat Inspektor sebelum dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Penggunaan teknologi AI dalam kertas siasatan bermaksud menghasilkan draf awal kertas siasatan.
“Tapi sebelum dihantar kepada DPP, IO berpangkat Inspektor ialah pegawai yang bertanggungjawab untuk melakukan verifikasi,” katanya.
Beliau turut melihat potensi penggunaan AI oleh PDRM menerusi kios di lokasi strategik seperti lapangan terbang bagi membantu pelancong asing membuat laporan polis menggunakan bahasa masing-masing.
“Kita tak boleh duduk di jalan, membiarkan orang lain yang guna pakai AI ini. Belajar dan guna pakai. Kena terima,” tegas Saifuddin.
KREDIT GAMBAR: KDN

