am@hmetro.com.my
Melaka: Tukang masak maut selepas basikal ditunggang dipercayai tersangkut pada penutup longkang di Bukit Beruang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa, Ahmad Shazlye Hassan, 36, mengalami kecederaan pada muka dan kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, mangsa yang beralamat di Taman Bunga Raya, Bukit Beruang bagaimanapun, disahkan meninggal dunia jam 9 malam kira-kira dua jam selepas menerima rawatan di hospital berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang basikal dari arah Jalan Dahlia 6 menuju ke persimpangan Jalan Dahlia 2 dan Jalan Dahlia 7.
“Apabila mangsa tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan basikal dipercayai masuk ke dalam penutup longkang.
“Impak kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh sendiri dan mengalami luka pada muka serta kepala sebelum dikejarkan ke hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati basikal berkenaan dipercayai terjatuh sendiri selepas tayar hadapan tersangkut pada penutup longkang berkenaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis masih menunggu laporan bedah siasat.
“Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati basikal mangsa jenis Lapierre berwarna biru mengalami kerosakan pada bahagian pemegang.
Katanya, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah lurus, satu lorong dua hala, selain cuaca baik dan kering dengan pencahayaan terang serta jelas.
© New Straits Times Press (M) Bhd

