Ekstradisi Zakir Naik: Pas gesa kerajaan perjelas status perundangan, persefahaman dicapai

SHAH ALAM – Pas menggesa kerajaan supaya menjelaskan kepada awam mengenai status perundangan dan persefahaman yang dicapai dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan wakil negara India berhubung permintaan ekstradisi pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dalam masa sama penjelasan juga perlu diberikan sama ada keterangan dan dokumentasi bagi menyokong permohonan pihak India kepada Malaysia telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia untuk ekstradisi.

Menurutnya, ini kerana dibimbangi kemungkinan Dr Zakir Naik menjadi korban politik atau konsesi diplomatik dalam usaha Malaysia membuktikan persahabatan atau memenangi kepercayaan India sekiranya isu-isu berkait undang -undang tidak dipatuhi dan prinsip-prinsipnya dihormati sebagaimana sepatutnya.

“Malaysia seharusnya memberi pertimbangan wajar kepada apa-apa permohonan ekstradisi yang sah daripada mana-mana negara asing selaras dengan proses undang-undang, bukan transaksi atau tawar menawar politik.

“Kes ini bukanlah semata-mata mengenai hubungan antara Malaysia dan India, sebaliknya ia juga adalah ujian sama ada Malaysia akan mempertahankan prinsip dan ketetapan undang-undang sendiri ketika berhadapan dengan tekanan atau laba diplomatik.

“Hubungan baik dengan mana-mana negara adalah penting, namun kedaulatan negara dan integriti sistem keadilannya lebih penting dan mesti dipertahankan. Satu tidak boleh dikorbankan untuk kepentingan yang lain,” ulasnya.

Sebelum ini, isu ekstradisi pendakwah kontroversi Zakir Naik yang dikehendaki di negara asalnya, India berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian, dilaporkan antara perkara yang dibincangkan dalam rundingan antara Anwar dan wakil negara India.

Menurut laman berita India New Delhi Television (NDTV), Anwar mengesahkan bahawa perbincangan mengenai perkara itu diadakan secara ‘tertutup’ yang dipercayai berlangsung di New Delhi.

Beliau berkata, sebarang tindakan berhubung permintaan ekstradisi India perlu dilakukan ‘dengan amat berhati-hati’ dengan mengambil kira prinsip kedaulatan undang-undang.

Tambah Takiyuddin, Pas juga menuntut kerajaan menjelaskan sama ada Malaysia telah membuat sebarang komitmen politik.

Jelasnya, ia mengenaj eksplisit atau sebaliknya berkait ekstradisi pendakwah antarabangsa berkenaan yang kini merupakan Pemastautin Tetap di negara ini sejak 2012 dan disahkan secara rasmi oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu pada April 2017.

“Pas menyedari Malaysia dan India mempunyai hubungan dua hala sejak sekian lama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan beberapa bidang strategik lain.

“Namun hubungan dua hala yang baik tidak boleh mengatasi syarat dan ketetapan undang-undang negara yang mengawal proses dan perjalanan ekstradisi,” ujarnya.

Scroll to Top