MAJLIS Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil langkah proaktif bagi memastikan pelbagai isu yang timbul menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak menjejaskan persiapan atlet negara yang mula tiba sejak beberapa hari lalu.
Antara perkara diberi perhatian adalah kekurangan bilik penginapan yang turut dialami beberapa kontinjen lain, sekali gus membabitkan skuad karate negara yang dijadual tiba di Nagoya, Khamis ini.
MSN bagaimanapun segera menanggung kos bilik tambahan di hotel rasmi untuk lima atlet karate yang sebelum ini tidak disediakan penginapan.
Bagi skuad memanah pula, status penginapan membabitkan 16 atlet dan pegawai masih belum mendapat pengesahan daripada pihak penganjur.
Sebagai langkah berjaga-jaga, MSN sudah menempah 11 bilik di hotel berasingan.
“Bagi mengelakkan fokus atlet terganggu, MSN telah membuat tempahan 11 bilik di hotel berasingan dan akan membayar kos itu termasuk kos pengangkutan ke venue pertandingan sekiranya penganjur tidak memaklumkan status penginapan apabila mereka tiba pada 24 September nanti,” menurut MSN dalam satu kenyataan pada Selasa.
Setakat ini, atlet dan pegawai daripada bola keranjang wanita, kriket wanita, ekuestrian serta pasukan hoki lelaki dan wanita sudah tiba di Aichi, Nagoya dan Tokyo, dengan semua mereka disediakan penginapan oleh pihak penganjur.
Dalam menghadapi cuaca tidak menentu, MSN turut membekalkan setiap atlet negara dengan baju hujan susulan hujan lebat yang melanda Aichi dan Nagoya sejak beberapa hari lalu.
Selain itu, sekretariat menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Keselamatan untuk atlet, di samping SOP Keselamatan Bencana Alam yang disediakan pihak penganjur.
“Pegawai MSN di Aichi dan Nagoya juga sentiasa berhubung dengan pihak penganjur bagi memastikan hidangan untuk atlet negara mendapat pengesahan halal,” katanya.
Jaminan berkenaan diberikan kepada atlet yang menginap di perkampungan sukan dan hotel-hotel rasmi.
Pada masa sama, MSN turut membawa bekalan makanan ‘ready to eat’ sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya diperlukan atlet.
Langkah itu juga bagi menangani risiko keracunan makanan sekiranya atlet terpaksa mendapatkan makanan dari luar sepanjang temasya.
Dalam aspek pengangkutan, MSN turut mengambil kira kemungkinan berlaku kelewatan selepas terdapat kontinjen yang terpaksa menunggu sehingga 40 minit sebelum kenderaan disediakan untuk ke venue pertandingan.
“MSN juga menjangkakan pengangkutan atlet ke venue pertandingan bakal menimbulkan masalah dan telah menyediakan solusi dengan mengenal pasti pembekal perkhidmatan pengangkutan yang boleh ditempah untuk kegunaan atlet-atlet negara,” katanya.
MSN turut mengingatkan semua atlet supaya sentiasa memaklumkan kepada pengurusan pasukan sekiranya berdepan sebarang isu yang boleh menjejaskan fokus dan persiapan mereka supaya tindakan susulan dapat dirujuk kepada pihak penganjur bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.
