Warga asing 2 tahun pandu lori tanpa lesen, raih RM4,000 sebulan

harisfadli@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Seorang warga India mengaku sudah dua tahun memandu kenderaan berat walaupun tiada lesen memandu dan dokumen pekerjaan sah selepas ditahan menerusi Ops Kenderaan Perdagangan di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), di sekitar Rawang, di sini, hari ini.

​Lelaki berusia 30-an yang berasal dari Punjab, India itu mendakwa melakukan pekerjaan itu berikutan pendapatan lumayan mencecah RM4,000 sebulan.

​Katanya, setiap hari dia mampu melengkapkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga penghantaran bahan-bahan binaan di sekitar Lembah Klang.

​Pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah termasuk Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL), selain tidak mempunyai dokumen pekerjaan yang sah.

​Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, warga asing itu antara individu yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersasar berkenaan.

​”Tindakan segelintir majikan atau pemilik kenderaan yang mengupah warga asing tanpa lesen sah demi mengaut keuntungan disifatkan sebagai amat tidak bertanggungjawab.

​”Tindakan sebegini jelas membelakangkan undang-undang serta mempertaruhkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya pada sidang media di R&R Rawang arah utara, di sini, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top