Putrajaya: Kerajaan menjangkakan penawaran kuota baharu Program Tarif Galakan (FiT) sebanyak 250 Megawatt (MW) bagi 2027 berupaya menjana pelaburan sehingga RM3 bilion serta membuka lebih 5,000 peluang pekerjaan.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, penawaran kuota menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia itu terbuka kepada pemaju tenaga boleh baharu (TBB) yang layak di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurutnya, pecahan kuota berkenaan membabitkan tiga sumber utama iaitu biojisim sebanyak 120 MW, hidrokuasa kecil (100 MW) dan biogas (30 MW).
“Kesemua kuota ini boleh dimohon secara bidaan dalam talian (e-bidding) menerusi portal rasmi SEDA Malaysia bermula 3 Februari 2027 hingga 24 Mac 2027.
“Penawaran ini bukan sahaja memancing pelaburan bernilai RM3 bilion, malah turut membabitkan pembelian gas enjin dan dandang (boiler) yang dipasang secara tempatan bernilai RM510 juta,” katanya.
PETRA menjelaskan, langkah ini sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kapasiti campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050.
Katanya, projek TBB yang bakal diluluskan itu dijangka mula membekalkan tenaga elektrik hijau kepada grid nasional seawal 2030.
“Sejak program FiT mula diperkenalkan pada 2011, sebanyak 1,660.50 MW kuota sudah diluluskan bagi kesemua sumber TBB membabitkan 9,658 projek di seluruh negara,” katanya.
Pemaju yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses permohonan, tarikh sesi taklimat dan tarikh penghantaran e-bidding menerusi laman rasmi SEDA Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd
