
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan ucapan pada Program Bicara Perdana sempena Hari Malaysia 2026 di Dewan Al Jazari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.
SHAH ALAM – Malaysia perlu berani merangka perancangan jangka panjang bagi membina sebuah negara yang bersatu, berdaya cipta, berpendapatan tinggi, berdaulat dan adil menjelang usia 100 tahun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu tidak seharusnya terikat kepada tempoh satu penggal pentadbiran, satu kitaran ekonomi atau satu generasi kepimpinan. Sebaliknya, katanya, setiap keputusan yang dibuat pada masa kini perlu mengambil kira keupayaan serta cabaran yang bakal dihadapi Malaysia dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
“Gagasan 100 Tahun menuntut kesabaran sebuah generasi dan keberanian sebuah negara.
“Kita perlu menentukan keupayaan jangka panjang yang mahu dibina, mutu pendidikan dan kesihatan rakyat, keterjaminan makanan dan tenaga, penguasaan teknologi, daya tahan iklim, kesalinghubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta institusi yang mendapat dokongan dan kepercayaan rakyat,” katanya.
Beliau dipetik berkata sedemikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Bicara Perdana sempena Hari Malaysia 2026 di Dewan Al Jazari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.
Amirudin berkata, perancangan untuk tempoh 100 tahun tidak bermaksud Malaysia sekadar menyenaraikan sasaran yang mahu dicapai, sebaliknya menentukan keputusan yang perlu dibuat mulai sekarang bagi memastikan negara mempunyai masa depan yang lebih kukuh.
Menurut beliau, Malaysia perlu berfikir secara strategik dengan memahami arah perubahan, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, membuat pilihan yang sukar serta membina keupayaan sebelum sesuatu krisis memaksa negara bertindak.
“Strategik bukan senarai segala perkara yang kita inginkan, sebaliknya ialah kejelasan tentang keutamaan, urutan tindakan dan pengorbanan yang sanggup kita lakukan untuk mencapai matlamat bersama,” jelas beliau.
Dalam usaha membina Malaysia menjelang usiak 100 tahun akan datang, Amirudin menjelaskan bahawa pembinaan bangsa yang yakin dan berbelas ihsan perlu menjadi asas pertama.
Katanya, Malaysia tidak boleh dibina atas rasa curiga terhadap perbezaan bahasa, agama, budaya atau adat, sebaliknya rakyat perlu memahami sejarah negara secara jujur dan belajar untuk saling mengenali.
“Persengketaan antara rakyat Malaysia hanya akan membawa kehancuran kepada cita-cita kita untuk membina Malaysia bersekutu, Malaysia yang bermutu,” jelas beliau.
Amirudin memberitahu, pembinaan negara bangsa juga perlu berteraskan Perlembagaan dengan memastikan setiap rakyat mempunyai maruah dan kedudukan yang sama di sisi negara.
Dalam masa sama, katanya, hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu dibina atas semangat rakan pengasas.
“Tuntutan mengenai hak, pembangunan, infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan hasil bukan gangguan kepada perpaduan.
“Semua itu ialah sebahagian daripada usaha menyempurnakan janji Persekutuan,” ujar beliau.
Amirudin berkata, masa depan Malaysia dalam tempoh menjelang usia 100 tahun akan datang juga bergantung kepada keupayaan negara membina ekonomi yang mampu menghadapi perubahan iklim.
Katanya, pertumbuhan ekonomi tidak boleh lagi dipisahkan daripada alam sekitar kerana banjir, cuaca panas melampau, gangguan bekalan air dan ketidakstabilan pengeluaran makanan memberi kesan langsung kepada rakyat serta ekonomi negara.
Beliau berkata, Malaysia perlu melihat peralihan kepada ekonomi hijau sebagai peluang untuk membina pekerjaan dan teknologi baharu, termasuk dalam sektor tenaga, pertanian pintar, mobiliti rendah karbon dan ekonomi kitaran.
“Matlamatnya bukan pertumbuhan pada apa jua harga, tetapi pertumbuhan yang meningkatkan mutu kehidupan dan tidak mewariskan kos tersembunyi kepada generasi berikutnya,” katanya.
Mengulas kedudukan Malaysia dalam tempoh mendatang, Amirudin berkata, negara perlu memanfaatkan kedudukan strategik di Asia dengan memperkukuh ASEAN serta menjalinkan kerjasama dalam bidang pengangkutan, tenaga, ekonomi digital, pendidikan, keselamatan makanan dan tindak balas bencana.
Katanya, Malaysia tidak perlu menjadi kuasa besar untuk mempunyai pengaruh, sebaliknya kekuatan itu boleh dibina melalui institusi yang dipercayai, tenaga kerja berkemahiran, dasar yang konsisten dan masyarakat yang stabil.
Dalam pada itu, katanya, generasi muda perlu diberikan perhatian serius kerana mereka akan menjadi kelompok yang menentukan wajah Malaysia apabila negara memasuki usia 100 tahun.
Menurutnya, generasi muda kini berdepan perubahan besar akibat media sosial, kesan pandemik Covid-19 dan perkembangan kecerdasan buatan (AI).
