Pengguna terima rebat AFA RM3.1 bilion sejak Julai 2025 – TNB

PETALING JAYA: Pengguna elektrik menerima rebat berjumlah RM3.1 bilion sejak mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) diperkenalkan pada 1 Julai 2025 berbanding surcaj RM800 juta yang dikenakan dalam tempoh sama.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, kerajaan turut menyalurkan tambahan sebanyak RM435 juta menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan impak surcaj AFA kepada pengguna.

Menurutnya, AFA diperkenalkan pada 1 Julai 2025 susulan penstrukturan tarif elektrik bagi menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

“AFA bukan caj tambahan baharu dan ia tidak menyalurkan keuntungan kepada TNB. AFA berfungsi sebagai mekanisme dua hala untuk mengimbangi perubahan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing,” katanya dalam kenyataan.

TNB berkata, apabila kos bahan api global lebih rendah, pengguna menikmati rebat dengan penjimatan berkenaan dipulangkan menerusi bil elektrik.

“Sejak pelaksanaan tarif elektrik baharu, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April lalu.

“Surcaj pula hanya mula dikenakan pada Mei lalu apabila kos penjanaan meningkat susulan krisis di Asia Barat.

“Bagi September ini, kadar AFA ditetapkan pada +3.67 sen setiap kilowatt-jam (kWj) dan kadar berkenaan dikemas kini setiap bulan selepas pengesahan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Bagaimanapun, TNB berkata, pengguna domestik dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada caj AFA, selain cukai perkhidmatan lapan peratus dan Caj Peruncitan.

Menurut TNB, di bawah struktur tarif baharu, kumpulan pengguna berkenaan membayar kira-kira dua hingga 14 peratus lebih rendah berbanding tarif sebelum ini, bergantung kepada tahap penggunaan.

Mengulas kebimbangan mengenai kenaikan bil elektrik, TNB menegaskan AFA tidak menyebabkan peningkatan mendadak dalam bil pengguna.

“Sebaliknya, perubahan bil bulanan turut dipengaruhi corak penggunaan peralatan elektrik terutama ketika musim perayaan, cuti sekolah dan pelaksanaan aturan bekerja dari rumah.

“Oleh itu, kami menyarankan pengguna memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB, meningkatkan kecekapan tenaga serta beralih kepada skim Time of Use (TOU) bagi memanfaatkan kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top