EU cadang larangan media sosial, bot sembang AI untuk remaja bawah 15 tahun

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) bakal mengemukakan cadangan sekatan yang melarang golongan remaja berusia bawah 15 tahun daripada mengakses platform media sosial, perkhidmatan perkongsian video, bot sembang kecerdasan buatan (AI) serta permainan dalam talian.

Langkah baharu ini merupakan pelan paling drastik setakat ini dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada bahaya alam maya, menurut dokumen Suruhanjaya Eropah yang dilihat oleh Reuters.

Langkah berkenaan diambil susulan kebimbangan global yang semakin meningkat terhadap kesan penggunaan platform utama seperti Facebook dan Instagram milik Meta, TikTok, YouTube milik Google, serta ChatGPT ke atas kesihatan dan keselamatan golongan muda.

Cadangan terbaharu ini merupakan sebahagian daripada Akta Kanak-Kanak EU yang dijadualkan dibentangkan oleh Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen bersama Ketua Teknologi EU, Henna Virkkune pada Khamis ini.

Von der Leyen juga dijangka mendedahkan beberapa butiran lanjut berhubung dasar berkenaan dalam ucapan State of the Union beliau pada Rabu.

Menerusi dokumen itu, EU menegaskan pendekatan persekutuan sepatutnya membolehkan golongan bawah umur memanfaatkan potensi besar perkhidmatan digital sambil memastikan mereka dilindungi daripada sebarang bentuk penyalahgunaan serta eksploitasi.

Dokumen tersebut turut menekankan keperluan untuk mengehadkan akses syarikat teknologi terhadap kanak-kanak.

Pelan yang dikemukakan ini turut merangkumi platform permainan video dan akan memperkenalkan kebenaran akses secara bertahap mengikut peringkat umur pengguna.

Dalam pada itu, syarikat teknologi berkenaan bakal dikenakan yuran penyeliaan bagi membiayai kos penguatkuasaan serta pemantauan oleh pihak berkuasa kawal selia.

Menerusi struktur umur yang dicadangkan, remaja berusia 15 tahun ke atas dibenarkan mendaftar akaun sendiri secara bebas.

Bagi remaja berusia 13 hingga 14 tahun, mereka hanya dibenarkan menggunakan platform media sosial atau perkongsian video menerusi akaun pengenalan yang dibuka oleh ibu bapa, lengkap dengan kawalan ketat terhadap senarai kenalan serta had masa penggunaan.

Sementara itu, akaun bagi kanak-kanak berusia 3 hingga 12 tahun perlu dikawal sepenuhnya oleh ibu bapa dan hanya terhad kepada perkhidmatan mesra kanak-kanak yang memenuhi piawaian keselamatan tinggi, manakala kanak-kanak di bawah usia 3 tahun dilarang sama sekali daripada mengakses perkhidmatan berkenaan.

Bagaimanapun, perincian cadangan berkenaan masih tertakluk kepada perubahan menjelang pengumuman rasmi kelak.

Suruhanjaya Eropah perlu memperincikan draf undang-undang tersebut bersama negara-negara anggota EU dan Parlimen Eropah dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebelum ia boleh diluluskan dan dikuatkuasakan secara rasmi.

Scroll to Top