– Utusan Malaysia

Bergson gagal skor penalti, JDT seri 1-1 dengan 10 pemain Buriram United

MOHAMAD FAIZAL HASHIM
pix RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) kempunan menewaskan Buriram United yang bermain dengan 10 pemain pada aksi pembukaan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) setelah terikat 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Bermain di hadapan lebih 30,000 penyokong tuan rumah, pemain naturalisasi baharu Harimau Malaya, Bergson Da Silva gagal menyudahkan sepakan penalti pada babak kedua permainan.

Pada perlawanan itu, skuad kendalian Xisco Munoz terlebih dahulu melakukan percubaan berpunca gerakan Afiq Fazail dari bahagian tengah yang membuat umpanan kepada Jonathan Silva namun hantaran pemain bek kiri itu dikeluarkan pertahanan lawan pada minit ketujuh.

Jaringan pembukaan JDT menerusi Oscar Arribas pada minit ke-20 dibatalkan pengadil setelah mendapati pemain tengah itu melakukan kekasaran setelah bola terlebih dahulu dimenangi oleh penjaga gol lawan.

JDT akhirnya berjaya merobek gawang Thunder Castle pada minit ke-26 setelah Marcos Guilherme merampas bola dari bahagian tengah dan membuat hantaran kepada Arribas yang tidak dikawal sebelum rembatan kencangnya gagal diselamatkan Neil Etheridge menyaksikan bola menerjah jaring gol lawan.

Pada minit ke-30, Buriram United berjaya menghasilkan percubaan tepat ke arah pintu gol JDT menerusi rembatan kaki kiri Guilherme Bissoli namun Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berada di posisi tepat menangkap bola tersebut.

Sebelum tamat babak pertama, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan setelah hantaran lambung Darlan Mendes ke dalam kotak penalti disudahkan Stefen Schimmer dengan sepakan voli menewaskan Ahmad Syihan pada minit ke-43.

Kemasukan Bergson Da Silva dan Nacho Mendez pada babak kedua memberi tonik buat skuad Harimau Selatan yang tampak semakin agresif mencari tambahan gol.

Pada minit ke-55, Bergson pula membuat umpanan kepada Guilherme yang melencongkan bola ke penjuru pintu gol Buriram, malangnya penjaga gol bertindak tangkas menafikan percubaan itu.

Pada minit ke-57, skuad Buriram United dirundung malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah kapten, Kenneth Dougall diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua kerana membuat terjahan keras terhadap Mendez.

Biarpun bermain dengan kurang seorang pemain, kelab Thailand itu tidak hanya bertahan malah turut melakukan serangan balas bagi mencari gol kemenangan pada perlawanan.

Bissoli yang mengambil sepakan percuma dari luar kotak penalti sekali lagi gagal menewaskan Ahmad Syihan yang bersedia menangkap bola tersebut.

Bergson sekali lagi hampir menambah jaringan buat JDT namun sepakan voli yang dilakukan dari dalam kotak penalti pada minit ke-66 sekadar menggegar palang gol Buriram United, sebelum pada minit ke-75, dia mensia-siakan hantaran silang Guilherme ke dalam kotak penalti setelah tandukannya tersasar dari pintu gol lawan.

Berbaki 10 minit terakhir, Stadium Sultan Ibrahim bergema apabila pengadil perlawanan, Majed Al Shamrani menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Mancha telah melakukan kekasaran terhadap Arif Aiman Hanafi di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, penyokong Harimau Selatan terkedu setelah sepakan penalti yang diambil Bergson ke penjuru kiri pintu gol berjaya diselamatkan Etheridge pada minit ke-87.

Pada minit ke-90, Al Shamrani menghadiahkan kad merah kepada Eddy Israfilov setelah semakan VAR mendapati pemain pertahanan itu melakukan terjahan keras terhadap Alexandru Tudorie. Keputusan itu menyaksikan Buriram United berjaya mencuri mata dalam aksi pembukaan ACLE musim ini.-UTUSAN

Scroll to Top