Presiden FAM: Pengalaman buat Hodak pilih Ab Ghani

 

DUA tahun bekerja bersama Datuk Ab Ghani Hassan ketika membimbing skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara cukup untuk Bojan Hodak mengenal karakter kepimpinan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu, meletakkannya sebagai pilihan paling sesuai menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

 

Menurut Hodak, sepanjang tempoh tersebut, Ab Ghani yang ketika itu bertindak sebagai pengurus pasukan sentiasa meletakkan kepentingan skuad sebagai keutamaan, selain memberikan kepercayaan penuh kepadanya untuk mengendalikan pasukan.

 

“Dua tahun saya bekerjasama dengan Ab Ghani dan kali pertama kita jumpa, beliau dah beritahu sebagai pengurus pasukan, beliau tetap akan sokong saya sebagai jurulatih pada waktu itu.

 

“Beliau juga tegaskan yang beliau tidak akan pernah ganggu atau masuk campur apa-apa, tetapi akan tolong sekiranya kami perlu bantuan, dan saya rasa sebab itulah kami akhirnya merangkul kejuaraan buat julung kalinya.

 

“Ab Ghani bukan individu yang nak letak diri dia di hadapan, tapi setiap kali kita perlukan sesuatu, dia orang pertama yang akan ada dan bagi saya, itulah karakter sebenar untuk jadi seorang pemimpin,” katanya.

 

Kepercayaan yang diberikan itu hadir pada ketika Hodak membimbing Harimau Muda B-19 dalam saingan Piala AFF 2018, yang menyaksikan skuad negara menamatkan badi kejuaraan selepas menewaskan Myanmar 4-3 untuk muncul juara.

 

Kejayaan itu sekali gus memadam rekod negara yang lima kali bergelar naib juara sebelum ini, masing-masing pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.

 

Bagi Hodak, kejayaan tersebut turut memperlihatkan peranan Ab Ghani yang bukan sekadar menguruskan keperluan pasukan, sebaliknya memastikan barisan kejurulatihan dan pemain dapat membuat persiapan dalam keadaan terbaik tanpa gangguan.

 

“Dia sentiasa melindungi kami waktu itu, pastikan tiada yang menganggu, pastikan kelengkapan latihan dan fasiliti untuk kami buat persediaan dengan baik,” katanya yang pernah membimbing Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City.

 

Pengalaman itu kemudian menjadi asas penilaian Hodak apabila Ab Ghani kini menawarkan diri untuk jawatan Presiden FAM, dengan pencalonannya turut dicabar Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.

 

Hodak berkata, beliau pernah bekerjasama dengan kedua-dua calon berkenaan, namun pengalaman yang dilaluinya bersama Ab Ghani membuatkan beliau secara peribadi melihat tokoh itu lebih layak untuk menerajui badan induk bola sepak negara.

 

“Saya ada nampak Ab Ghani bertanding untuk posisi Presiden FAM, bersama-sama dengan Shahril juga dan saya pernah bekerjasama dengan kedua-dua individu ini.

 

“Tapi secara peribadi saya rasa Ab Ghani layak untuk menjawat jawatan itu sebab selama saya pernah bekerja bersama beliau, saya melihat bagaimana cara beliau meletak segalanya untuk pasukan kami ketika AFF 2018 itu.

 

“Berbanding dengan seorang lagi calon, dan pengalaman saya bersama Shahril, Ab Ghani lebih sesuai untuk galas tanggungjawab tanpa ada kepentingan peribadi dan kualiti sebagai seorang pemimpin memang sudah ada dalam diri beliau.

 

“Mestilah untuk pencalonan seperti ini, masing-masing akan cuba untuk tambat hati dengan kata-kata dan janji, tapi untuk saya yang pernah bermain bola, menjadi jurulatih, saya hanya beritahu perkara yang betul, apa yang pernah saya nampak dan siapa yang lebih layak untuk bola sepak ini,” katanya.

 

Scroll to Top