am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi (METMalaysia) sedang berunding dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melaksanakan sekali lagi operasi pembenihan awan dalam masa terdekat susulan jerebu semakin buruk serta penurunan paras air di beberapa empangan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) METMalaysia, Ambun Dindang, berkata operasi berkenaan sedang dipertimbangkan bagi membantu meningkatkan paras air empangan, selain berpotensi mengurangkan kesan jerebu menerusi hujan yang terhasil.
“Kita mahu meningkatkan paras air di empangan yang semakin menurun, selain hujan yang berpotensi terhasil daripada operasi berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kesan jerebu yang sedang melanda negara ketika ini,” katanya ketika ditemu bual Buletin Utama TV3.
Ambun berkata, METMalaysia turut memantau keadaan cuaca dan ketersediaan awan yang sesuai bagi membolehkan operasi pembenihan awan dilaksanakan.
Beliau berkata, jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia berpunca daripada kebakaran hutan di negara jiran dan bukannya debu gunung berapi susulan letusan gunung berapi di Jawa, Indonesia seperti didakwa sesetengah pihak.
Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa untuk mengurangkan kesan jerebu dengan operasi pembenihan awan sebelum ini dilaksanakan bagi menghasilkan hujan untuk membantu membersihkan udara serta meningkatkan ketersediaan air di empangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
