am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: BERSATU mendesak pihak berkuasa menyemak semula dan menarik balik pembekuan akaun bank parti itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada empat pertuduhan membabitkan RM200 juta.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata keputusan mahkamah berkenaan menimbulkan persoalan berhubung asas undang-undang dan fakta untuk terus membekukan atau menyita akaun parti itu, terutamanya yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana dalam tiga pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Dengan tiga pertuduhan AMLA yang mengaitkan secara langsung RM200 juta dengan akaun BERSATU kini berakhir dengan pembebasan, timbul persoalan munasabah: apakah asas undang-undang dan fakta yang tinggal untuk terus mengekalkan sekatan ke atas akaun BERSATU membabitkan dana yang sama?” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau, hari ini.
Katanya, BERSATU menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Muhyiddin dilepas dan dibebaskan daripada satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan AMLA.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA), namun dibantah pasukan pembelaan Muhyiddin yang berhujah bahawa pendakwaan gagal mengemukakan bukti serta alasan kukuh untuk meneruskan pertuduhan.
Hakim Datuk Noor Ruwena Md Nurdin selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, menggunakan budi bicaranya mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah untuk memberikan keputusan lepas dan bebas kepada Muhyiddin.
“Keputusan ini penting kerana ia dibuat sebelum pihak pendakwaan mencapai peringkat prima facie dan sebelum tertuduh dipanggil membela diri,” katanya.
Tun Faisal menjelaskan, tiga pertuduhan AMLA berkenaan membabitkan RM200 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank dan CIMB milik BERSATU.
Beliau menegaskan, akaun BERSATU tidak sepatutnya kekal dibekukan tanpa asas undang-undang dan fakta yang kuat serta berterusan, terutamanya apabila parti itu sendiri tidak pernah dituduh dengan sebarang kesalahan.
Beliau turut merujuk Seksyen 44, 50 dan 56 AMLA yang mengawal selia pembekuan, penyitaan dan perlucuthakan harta, sambil menegaskan ia tertakluk kepada syarat serta proses yang ditetapkan undang-undang.
Sehubungan itu, Tun Faisal menggesa pihak berkuasa menyemak semula asas pembekuan dan penyitaan akaun BERSATU dengan kadar segera.
“Sekiranya tiada lagi asas undang-undang yang sah untuk diteruskan, akaun BERSATU mesti dilepaskan tanpa sebarang penangguhan lagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
