PETALING JAYA: Majikan berpeluang mendapatkan diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) menerusi Festival Mega iLINDUNGu yang akan berlangsung minggu ini.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, pihaknya juga menyediakan kaunter khas bagi pencarum yang memilih untuk keluar daripada LINDUNG 24 Jam untuk menyertai semula skim berkenaan.
Menurutnya, pemberian diskaun dan kemudahan menyertai semula LINDUNG 24 Jam itu antara pengisian yang disediakan bagi memudahkan pengunjung mendapatkan perkhidmatan perlindungan sosial secara langsung sepanjang festival tersebut.
“Festival Mega iLINDUNGu akan berlangsung di Strand Mall, Kota Damansara dari 18 hingga 20 September, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dan majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.
“Bagi meneruskan tradisi festival ini, majikan juga berpeluang mendapatkan diskaun sehingga 80 peratus bagi FCLB.
“Khusus untuk pencarum yang opt-out LINDUNG 24 Jam pula, PERKESO turut menyediakan kaunter khas untuk opt-in semula ke dalam skim berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, penganjuran edisi ketiga itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan PERKESO termasuk saringan kesihatan percuma, agihan topi keledar, semakan caruman dan khidmat nasihat faedah.
Katanya, festival anjuran PERKESO itu menyasarkan sehingga 60,000 pengunjung selain menjadi platform masyarakat mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat berkaitan perlindungan sosial.

“Pengunjung juga boleh mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan melalui penyertaan 11 agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) secara bersepadu.
“Antara agensi terbabit ialah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) serta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
“Bagi pencari kerja, MYFutureJobs akan menganjurkan Karnival LINDUNG Kerjaya membabitkan 25 majikan dengan lebih 2,000 kekosongan jawatan selain menyediakan bimbingan resume dan padanan pekerjaan.
“Festival itu turut menampilkan pelbagai aktiviti kekeluargaan, persembahan artis tempatan, cabutan bertuah serta peluang pengunjung menyertai program interaktif sepanjang tiga hari penganjuran,” katanya.

Sementara itu, festival juga akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti dan pempengaruh menerusi sesi Meet and Greet, bual bicara, podcast serta pelbagai program interaktif bersama Pengunjung.
“Antara selebriti terlibat ialah Kamal Adli, Elly Mazlein, Amyza Adnan, Zila Bakarin, Maria Tunku Sabri, Sathiya Kandi, Syazwan Syahmi dan Marc Saddique menerusi sesi Meet and Greet, bual bicara, podcast serta pelbagai program interaktif bersama Pengunjung.
“Memasuki penganjuran edisi ketiga, festival ini turut menampilkan persembahan artis tempatan, antaranya Andi Bernadee, Azza, Abby Abadi dan Cherpen pada Jumaat, diikuti Kartika dan Sofazr pada Sabtu. Persembahan Kristal X dan XPDC pula bakal menutup tirai festival pada Ahad,” katanya. – UTUSAN

