Tuchel kesal tak makan rumput Azteca

London: Thomas Tuchel mengakui beliau menyesal kerana tidak memakan rumput di padang Stadium Azteca bagi menandakan kemenangan bersejarah England ke atas Mexico pada saingan Piala Dunia, Julai lalu.

Dalam pada itu, pengurus England berkenaan berpendapat bahawa persiapan bagi kempen Kejuaraan Eropah (EURO) 2028 adalah lebih mudah berbanding Piala Dunia di Amerika Utara.

Mengimbas kembali kejohanan musim panas lalu bersama bekas penyerang Three Lions, Daniel Sturridge, Tuchel mengulas mengenai harapannya untuk membina kekuatan pasukan daripada kempen terbabit demi menamatkan kemarau kejuaraan selama 62 tahun dalam tempoh dua tahun akan datang.

England menamatkan saingan Piala Dunia di tempat ketiga selepas tewas kepada skuad Argentina bimbingan Lionel Messi dalam perlawanan separuh akhir yang menyedihkan.

Tuchel mendefinisikan kekalahan itu yang menyaksikan beliau dikritik hebat akibat taktik bertahan sebagai satu kenangan yang ‘menyakitkan.’

Namun, detik paling menarik sepanjang kejohanan itu pastinya kemenangan 3-2 ke atas Mexico di Azteca di mana England berhempas-pulas mengesahkan kemenangan walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain bagi sebahagian besar separuh masa kedua.

Tuchel berkata ‘jika anda memerlukan bukti tentang betapa bermaknanya perlawanan itu kepada pemain dan bagaimana eratnya hubungan mereka, ia dapat dilihat pada saat Jordan (Henderson) terjatuh dan patah tangan (selepas wisel penamat).

“Dalam masa sesaat, setiap pemain berada di situ menghentikan sambutan kemenangan, membentuk benteng perlindungan untuk Jordan dan tidak berganjak ke mana-mana dengan penuh rasa empati. Ia sesuatu yang amat bermakna.

“Saya menghantar mesej teks kepada seorang rakan selepas perlawanan dan menulis bahawa saya menyesal tidak makan sedikit rumput selepas perlawanan untuk menyimpan kenangan itu dalam badan saya selama-lamanya. Itulah perasaannya. Itulah detiknya.”

Tuchel bakal mengendalikan perlawanan pertamanya selepas Piala Dunia dalam jendela antarabangsa yang akan datang, dengan menentang Sepanyol, Croatia, dan Republik Czech sebanyak dua kali dalam saingan Liga Negara-Negara.

Beliau turut menceritakan bagaimana England beraksi dalam 10 perlawanan di Amerika Utara musim panas ini termasuk dua perlawanan pemanas badan di Florida dan merancang untuk mengulangi pendekatan yang sama menjelang EURO 2028.

Bekas pengendali Chelsea itu menambah ‘terdapat ikatan yang amat kuat dengan pemain-pemain ini, rasanya seperti mereka kini adalah pemain saya sepenuhnya.

“Inilah keindahannya apabila anda seorang pengurus dan melalui kejayaan serta saat-saat sukar bersama. Apabila anda meluangkan banyak masa bersama, ikatan semula jadi itu akan terjalin. Saya gembira dapat bertemu mereka dan mencabar keupayaan mereka.

“Saya gembira untuk terus meningkatkan prestasi mereka dan amat bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Saya teruja untuk bekerjasama dengan pemain ini, begitu juga untuk membawa masuk pemain-pemain muda baharu ke kem latihan supaya mereka boleh belajar.

“Saya rasa kita sudah semakin hampir dan berada di laluan yang betul. Memang sangat sukar untuk membuat persiapan bagi Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS) tetapi saya percaya ia boleh dilaksanakan untuk kempen EURO 2028.

“Sasaran kita adalah untuk mengharungi 10 perlawanan lagi. Kita beraksi dalam 10 perlawanan di AS dengan lapan kemenangan, satu seri, dan satu kekalahan yang menyakitkan.

“Namun, itu adalah asas yang baik untuk dibangunkan. Kita berhak untuk mendongakkan kepala dan melangkah dengan penuh keberanian serta sikap positif bagi menghadapi cabaran seterusnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top