AMANAT Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) menyasarkan untuk mengembalikan empat lebuh raya di bawah kendaliannya kepada kerajaan seawal 2033 selepas menyelesaikan sepenuhnya obligasi sukuk yang digunakan untuk membiayai pengambilalihan konsesi berkenaan.
Sasaran itu merupakan sebahagian daripada model perniagaan ALR yang mengutamakan manfaat kepada rakyat dengan keuntungan yang dijana tidak bertujuan untuk diagihkan kepada pemegang saham.
Ketua Pegawai Eksekutif ALR, Muhammad Nizam Alias berkata, pendekatan berkenaan turut membezakan ALR daripada model pengurusan konsesi lebuh raya konvensional, selain menjelaskan kedudukan syarikat itu sebagai entiti swasta sepenuhnya yang tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan.
“ALR ditubuhkan dengan tiga mandat utama. Pertama, tiada kenaikan kadar tol untuk keempat-empat konsesi sehingga tamat tempoh konsesi.
“Kedua, tiada lagi pembayaran pampasan tol oleh kerajaan kepada konsesi ini dan ketiga, mempercepatkan pemulangan empat lebuh raya ini kepada rakyat melalui kerajaan,” katanya kepada Bisnes Sinar baru-baru ini.
Terdahulu, pada 13 Oktober 2022, ALR memuktamadkan pengambilalihan empat syarikat konsesi lebuh raya menerusi penerbitan Sukuk Murabahah Kemampanan dan Pelaburan Bertanggungjawab bertaraf AAA dengan nilai nominal RM5.5 bilion.

Muhammad Nizam
Empat lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Barat Kuala Lumpur (SPRINT) dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SMART).
Muhammad Nizam berkata, walaupun ALR perlu menjana keuntungan bagi memastikan operasi dan kedudukan kewangannya kekal kukuh, keuntungan berkenaan tidak bertujuan untuk diagihkan sebagai dividen kepada pemegang saham.
Sebaliknya, keuntungan yang dijana digunakan untuk membayar semula hutang berjumlah kira-kira RM5.5 bilion yang ditanggung ketika pengambilalihan empat lebuh raya tersebut.
Katanya, kejayaan ALR juga tidak hanya diukur berdasarkan prestasi kewangan, sebaliknya sejauh mana syarikat itu mampu memenuhi tiga mandat yang ditetapkan.
“Bagi ALR, keuntungan bermakna manfaat yang dapat dinikmati rakyat. Kita menjana keuntungan dan menggunakan lebihan itu untuk membayar hutang supaya tempoh konsesi dapat dipendekkan dan akhirnya lebuh raya ini dapat dikembalikan kepada kerajaan.
“Jadi, definisi keuntungan kita agak berbeza. Kita mahu memastikan rakyat mendapat manfaat daripada model ini,” katanya.
Menurut Muhammad Nizam, model ALR turut membolehkan kerajaan menjimatkan bayaran pampasan tol yang sebelum ini perlu ditanggung bagi mengekalkan kadar tol tanpa kenaikan.
Ujarnya, penjimatan tersebut boleh disalurkan kerajaan kepada keperluan lain yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk sektor pendidikan dan kesihatan.
“Apabila kerajaan tidak lagi perlu membayar pampasan tol, wang itu boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih diperlukan rakyat.
“Pada masa sama, kita mahu memastikan pengguna mendapat sistem jalan raya yang efisien, selamat dan tidak membebankan dari segi kos,” katanya.

Keselamatan pengguna menjadi keutamaan ALR.
Beliau berkata, model berkenaan mempunyai potensi untuk diterapkan khususnya dalam projek infrastruktur awam, namun ia bukan penyelesaian yang boleh digunakan secara menyeluruh bagi semua projek.
Menurutnya, kejayaan model itu memerlukan disiplin kewangan yang tinggi bagi memastikan aliran tunai mencukupi untuk memenuhi komitmen kewangan, selain memastikan operasi lebuh raya terus berjalan dengan baik.
“Kita perlu mengekalkan pengurusan kewangan yang berhemah dan memastikan tunai yang ada cukup untuk memenuhi komitmen, pada masa sama operasi lebuh raya terus berjalan dengan baik,” katanya.
Dalam memastikan operasi empat lebuh raya berkenaan terus berjalan lancar, Muhammad Nizam berkata, keselamatan pengguna menjadi keutamaan ALR memandangkan kesemuanya merupakan antara rangkaian lebuh raya bandar yang mempunyai jumlah trafik tinggi.
Katanya, ALR menguruskan sekitar 1.1 juta kenderaan berbayar dan kira-kira dua juta kenderaan tanpa bayar setiap hari.
“Apabila kita bercakap mengenai 1.1 juta kenderaan berbayar dan dua juta kenderaan tanpa bayar setiap hari, skala operasi kita sangat besar.
“Keselamatan adalah perkara paling utama. Kita perlu memastikan pengguna sampai ke destinasi dengan selamat dan pada masa sama menyediakan perjalanan yang lebih efisien, moto kami adalah ALR utamakan keselamatan,” katanya.
Menurut beliau, kesesakan turut menjadi cabaran besar memandangkan kebanyakan lebuh raya di bawah ALR merupakan lebuh raya bandar yang berdepan peningkatan trafik, terutama pada waktu puncak.
Justeru, usaha mengurangkan kesesakan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah mempunyai kaitan secara langsung dengan prestasi perniagaan ALR.
“Apabila aliran trafik lebih baik, masa perjalanan dapat dipendekkan. Ini memberi pengalaman yang lebih baik kepada pengguna dan pada masa sama boleh menarik lebih ramai pengguna untuk menggunakan lebuh raya.
“Lebih banyak trafik juga bermakna kutipan tol yang lebih baik, jadi terdapat hubungan antara kecekapan operasi, pengalaman pengguna dan kelestarian perniagaan,” katanya.
Seiring usaha memperkukuh kedudukan kewangan, ALR turut meneroka sumber pendapatan bukan tol bagi mengurangkan kebergantungan kepada kutipan tol.
Muhammad Nizam berkata, kira-kira 90 peratus pendapatan ALR ketika ini masih datang daripada kutipan tol, namun syarikat melihat potensi íuntuk mengoptimumkan aset dan ruang yang terdapat di sepanjang jajaran lebuh raya.
Antara peluang yang dikenal pasti termasuk pengiklanan seperti papan iklan, pengoptimuman kawasan rehat dan rawat (R&R) menerusi penjenamaan serta kerjasama dengan pihak lain.
“Kita perlu melihat lebuh raya bukan sekadar jalan untuk kutipan tol. Terdapat banyak aset dan ruang yang boleh dioptimumkan.
“Kalau kita boleh menjana pendapatan daripada sumber bukan tol, ia membantu mengukuhkan kedudukan kewangan tanpa perlu menaikkan kadar tol,” katanya.

ALR sasar kembalikan empat lebuh raya di bawah kendaliannya kepada kerajaan seawal 2033.
Dalam menguruskan empat konsesi berkenaan, ALR turut mengamalkan budaya cost-conscious dengan memberi perhatian kepada setiap perbelanjaan tanpa menjejaskan kualiti penyelenggaraan.
Muhammad Nizam berkata, pendekatan itu bukan bermaksud mengurangkan perbelanjaan secara membuta tuli, sebaliknya mencari kaedah yang lebih cekap bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan nilai terbaik.
“Kita perlu sentiasa bertanya sama ada terdapat cara yang lebih baik dan lebih efisien untuk melakukan sesuatu perkara tanpa mengorbankan kualiti.
“Yang penting, kita tidak mahu penjimatan kos menyebabkan keselamatan atau kualiti penyelenggaraan terjejas,” katanya.
Menurut beliau, usaha tersebut membolehkan ALR mencapai penarafan empat bintang, iaitu penarafan tertinggi bagi piawaian penyelenggaraan yang dinilai oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Dalam pada itu, Muhammad Nizam mengakui antara cabaran utama ALR ialah menjelaskan kepada masyarakat mengenai model perniagaan syarikat yang masih baharu dan berbeza daripada persepsi umum terhadap syarikat konsesi lebuh raya.
Menurut beliau, pemahaman masyarakat penting bagi memastikan rakyat mengetahui bahawa objektif ALR bukan semata-mata menjana keuntungan daripada kutipan tol.
“Kita perlu mendidik masyarakat mengenai apa sebenarnya ALR dan bagaimana model perniagaan ini berfungsi.
“Kita berharap rakyat memahami tekanan yang kita hadapi, menyokong usaha ini dan terus menggunakan lebuh raya di bawah kendalian ALR kerana penggunaan itu membantu kita menjana hasil untuk melaksanakan mandat kepada rakyat,” katanya.
Dalam jangka panjang, ALR mahu membuktikan bahawa lebuh raya moden boleh diuruskan secara selamat, efisien dan dengan kos operasi yang munasabah tanpa bergantung kepada kenaikan kadar tol.
Muhammad Nizam berkata, sekiranya ALR berjaya mencapai sasaran penyelesaian hutang dan memulangkan empat lebuh raya kepada kerajaan, pengalaman serta kepakaran yang dibina sepanjang tempoh tersebut juga boleh menjadi legasi penting kepada industri lebuh raya negara.
“Kita mahu membuktikan bahawa kita boleh mengurus lebuh raya dengan selamat, efisien dan pada kos yang berpatutan, sambil memastikan mobiliti rakyat terus dipertingkatkan.
“Jika kita berjaya melakukannya, itu adalah legasi yang kita mahu tinggalkan, lebuh raya ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi satu sistem yang membantu rakyat bergerak, menjalankan aktiviti ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
