am@hmetro.com.my
Jasin: Lebih 100 lokasi di Melaka dikesan menjadi tempat pembuangan sampah haram, dengan 1,354 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Pengarah SWCorp Negeri Melaka, Nor Zaki Md Nor berkata, daripada 104 lokasi yang dikenal pasti di tiga daerah, 98 daripadanya sudah ditutup manakala enam masih aktif dan berlaku secara berulang.
Nor Zaki berkata, antara lokasi masih aktif termasuk kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Taman Teknologi Cheng, Jalan Persisiran Pantai, Kota Laksamana dan Jalan Parit Daka, Sungai Rambai.
“Daripada keseluruhan kes direkodkan, sebanyak 65 kes sudah diselesaikan di mahkamah, di mana dua kes dihukum termasuk perintah kehadiran wajib bagi Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama tiga bulan, dua jam sehari serta denda RM10,000,” katanya.
Nor Zaki berkata demikian selepas meninjau Program PKM di Dataran Jasin di sini, semalam, membabitkan lapan individu berusia antara 23 hingga 40 tahun yang melakukan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pembuangan sampah haram turut berlaku sekali sekala di kawasan berhampiran tanah perkuburan, termasuk berdekatan Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, tetapi dalam jumlah kecil dan terkawal.
Katanya, pihaknya bagaimanapun sentiasa memantau dan bersedia menjalankan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pihak industri, komersial dan institusi (ICI) supaya tidak melantik syarikat kontraktor tidak berdaftar untuk kerja pelupusan sisa pepejal.
Katanya, pembuangan sisa pukal antara perkara yang diberi perhatian dalam usaha membanteras kewujudan lokasi sampah haram di negeri itu.
“Usaha penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dilaksanakan, khususnya di lokasi yang dikenal pasti aktif serta berlaku secara berulang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

