PELARI sensasi, Muhammad Azeem Mohd Fahmi berpeluang mempertahankan pingat gangsa acara 100 meter (m) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, namun sasaran mencatat masa bawah 10 saat (s) disifatkan belum realistik.
Ketua Jurulatih Pecut Kebangsaan Thabo Matebedi berkata, Azeem berada pada tahap fizikal sangat baik berdasarkan prestasinya dalam latihan, namun masih perlu memperkukuh aspek mental menjelang pertandingan.
“Ada peluang yang sangat besar untuk Muhammad Azeem mengekalkan pingat gangsa. Dia hanya perlu bangkit dari segi mental pada hari pertandingan. Dari segi fizikal, apa yang saya lihat dalam latihan ialah 10 daripada 10,” katanya.
Azeem meraih gangsa pada Sukan Asia 2022 dengan catatan 10.11s, manakala rekod kebangsaan acara itu kini miliknya menerusi catatan 10.09s.
Matebedi berkata, sasaran bawah 10s lebih munasabah untuk dicapai dalam tempoh lapan bulan akan datang kerana Muhammad Azeem masih dalam proses menyesuaikan diri dengan perubahan kejurulatihan.
“Pada Sukan Asia, saya akan berterus terang. Ia belum realistik kerana dia baru berpisah dengan bekas jurulatih dan sebelum jurulatih baharu mengambil alih, dia masih mengikuti apa yang dilakukan jurulatih di Amerika Syarikat,” katanya.
Justeru beliau tidak mahu mengubah program latihan secara drastik kerana sukar menggabungkan dua sistem dalam tempoh singkat, selain bimbang perubahan mendadak meningkatkan risiko kecederaan.
“Saya juga tidak mahu mengubah apa yang telah dilakukan oleh jurulatih Ken kerana saya tidak mempunyai asas tentang dari mana dia datang, termasuk asas latihan yang dibinanya,” katanya.
Matebedi berkata, kecergasan fizikal sahaja tidak menjamin kejayaan dalam kejohanan utama kerana kekuatan mental turut penting untuk membolehkan atlet bangkit pada hari pertandingan.
“Perbezaan antara atlet yang baik dengan atlet yang hebat ialah pemikiran,” katanya.
Mengulas peluang Muhammad Azeem memperbaiki rekod kebangsaan 10.09s, Matebedi berkata ia bergantung kepada keadaan atlet pada hari perlumbaan, sambil tidak mahu memberi tekanan berlebihan sebelum menyasarkan usaha memecahkan rekod itu selepas Sukan Asia menerusi program latihan musim berikutnya.

