nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bersetuju untuk menangguhkan projek penstabilan dan penambahbaikan cerun di sepanjang landasan kereta api di Kelantan yang menjejaskan lebih 100 kediaman penduduk di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, persetujuan itu dicapai selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan merangkap Pengerusi RAC, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.
“Menerusi pertemuan itu, saya mengadakan perbincangan berkait notis perobohan kediaman penduduk yang dikeluarkan oleh RAC pada 6 September lalu dengan memberi tempoh 30 hari untuk pengosongan kawasan.
“Saya berterima kasih kepada pihak RAC di atas persetujuan untuk menangguhkan sementara kerja-kerja yang sedang berjalan sehingga akhir tahun ini.
“Malah RAC juga bersetuju untuk mempertimbangkan beberapa permohonan tambahan bagi tujuan menjaga kepentingan dan kebajikan golongan rentan iaitu warga orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, ibu tunggal yang mempunyai anak kecil, warga emas dan golongan daif yang paling terkesan dengan kerja perobohan ini,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, RAC mengeluarkan notis kepada penduduk yang tinggal dan membina kediaman di kawasan landasan kereta api supaya mengosongkan kawasan berkenaan dalam tempoh 30 hari berkuat kuasa 14 September.
Ia berikutan kawasan berkenaan terbabit dengan kerja-kerja penstabilan dan penambahbaikan cerun. Sekiranya mana-mana penduduk masih enggan berbuat demikian, mereka dianggap sebagai penceroboh dan tindakan penguatkuasaan akan diambil.
Mengulas lanjut, Hilmi berkata, sekalipun semua proses, tatacara dan notis adalah teratur dan memenuhi peruntukan undang-undang, namun unsur belas ihsan, empati dan kemanusiaan perlu ada dalam isu perobohan berkenaan supaya ia dapat diselesaikan secara harmoni.
Katanya, kebanyakan penduduk sudah tinggal di kawasan berkenaan membabitkan tiga generasi dengan membayar sewa bulanan mengikut keluasan.
“Mereka bukan penceroboh kerana sebelum ini mereka dibenarkan tinggal di kawasan berkenaan sebelum dikenakan sewa bulanan.
“Saya juga sudah membuat jemputan kepada pihak RAC supaya dapat menghantar wakil untuk hadir ke satu majlis perjumpaan dan penerangan bersama-sama dengan penduduk yang terbabit pada Sabtu ini.
“Penduduk di situ tidak pernah mempertikaikan hak RAC sebagai pemilik berdaftar hartanah, namun kepentingan awam serta keperluan keselamatan perlu juga diseimbangkan dengan penjagaan kebajikan dan jaminan sosial penduduk setempat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
