PM Anwar rayu beri peluang selamatkan negara -“Minta maaf kalau tak penuhi selera orang”

PM Anwar rayu beri peluang selamatkan negara -“Minta maaf kalau tak penuhi selera orang”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat supaya memberi peluang kepada kerajaan untuk meneruskan usaha memperbaiki dan menyelamatkan negara.

Mungkin kepimpinan tak penuhi kehendak sesetengah pihak

Menerusi podcast Sembang Ohh Yeahh, beliau mengakui kepimpinannya mungkin tidak memenuhi kehendak sesetengah pihak yang mahu semua perkara dilakukan dengan segera, namun beliau berkata tindakan tergesa-gesa juga boleh mengundang permusuhan.

“Saya sudah melakukan yang sebaik mungkin. Saya minta maaf kalau ia tidak memenuhi selera orang yang merasakan perlu disegerakan. Tapi harus faham, menyegerakan tindakan juga mengundang permusuhan.
“Seperti yang berlaku sekarang, ada orang tidak mahu sebarang tindakan, tidak mahu sebarang pendedahan, tidak mahu perkataan ‘sakau’ digunakan
Tetapi saya berterima kasih kepada yang memberi kepercayaan, dan saya ingin merayu dari lubuk hati saya, berilah peluang kepada kita untuk menyelamatkan negara kita,” katanya ketika menjadi tetamu podcast tersebut.

Malaysia ada potensi besar & golongan muda tunjuk kepekaan

Dalam pada itu, Anwar menyatakan Malaysia mempunyai potensi besar dan golongan muda menunjukkan kepekaan terhadap masa depan negara, termasuk menerusi semangat yang ditunjukkan ketika sambutan Hari Kebangsaan.

Jangan balik toleh dan retrogresif ke belakang. Negara ini harus ke depan, dan dalam tahap yang kita capai sekarang itu dihormati di rantau dan di dunia. Jangan sia-siakan peluang ini, itu saja,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa jawatan Perdana Menteri tidak kekal selamanya, sebaliknya negara perlu terus dipelihara daripada amalan yang boleh menjejaskan perpaduan dan tadbir urus.

“Perdana Menteri datang dan pergi, saya insaf perkara itu. Tetapi negara mesti diselamatkan.
“Jangan izinkan kita balik dengan amalan dan budaya benci kepada manusia, benci kepada kaum, dan lebih mudah menerima rasuah serta penyelewengan.
“Negara ini ada kekuatan, jangan rosakkan. Itu harapan saya. Saya mampu ditegur, saya banyak ditegur. Saya Perdana Menteri paling banyak turun ke universiti, dialog, dengar anak-anak dan saya boleh perbaiki di mana yang saya anggap kekurangan serta kelemahan.
“Tetapi saya ingin merayu, jangan izinkan negara ini dihampakan oleh gerombolan yang punyai kepentingan yang akan merosakkan kekuatan sendi kita,” katanya.

PM Anwar rayu beri peluang selamatkan negara -“Minta maaf kalau tak penuhi selera orang”

Anwar berkata beliau terbuka menerima teguran dan bersedia memperbaiki kelemahan sepanjang menerajui kerajaan.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kekuatan negara serta memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan tanpa mengulangi budaya yang boleh menjejaskan keharmonian dan kemajuan negara.

Sumber: YouTube Sembang Ohh Yeahh!

Scroll to Top