Kanak-kanak 12 tahun dakwa dicabul lelaki dikenali

HULU TERENGGANU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan menjadi mangsa amang seksual fizikal selepas didakwa dipeluk dan diraba seorang lelaki yang dikenalinya ketika berada di rumahnya di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 15 September lalu kira-kira pukul 5.29 petang yang dibuat ibu mangsa selepas kanak-kanak berkenaan menceritakan kejadian tersebut kepadanya.

“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan ketakutan. Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan di Hospital Hulu Terengganu mendapati mangsa masih berada dalam keadaan trauma dan memerlukan pemantauan lanjut,” katanya hari ini.

Sharudin berkata, mangsa masih ditempatkan di hospital bagi menjalani pemeriksaan perubatan serta menerima rawatan susulan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Seorang lelaki warga emas ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top