WASHINGTON: Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2023 yang jelas bertentangan dengan tuntutan Presiden, Donald Trump supaya kadarnya diturunkan.
Ketuanya, Kevin Warsh menegaskan keperluannya bagi menangani inflasi yang terlalu tinggi untuk tempoh yang terlalu lama.
Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Fed sebulat suara mengundi menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada antara 3.75 dan 4.00 peratus.
“Hakikatnya ialah inflasi terlalu tinggi dan sudah berlarutan terlalu lama,” kata Warsh pada sidang media, sambil menambah keputusan itu adalah langkah serius tetapi perlu dibuat.
Kenaikan kadar pada Rabu juga mungkin bukan yang terakhir, apabila sebahagian besar pembuat dasar Fed memberi petunjuk sekurang-kurangnya satu lagi kenaikan kadar mungkin diperlukan sebelum akhir tahun, menurut Ringkasan Unjuran Ekonomi (SEP) bank pusat itu.
Isi rumah dan perniagaan di AS terjejas akibat inflasi yang lebih tinggi daripada sasaran selama beberapa tahun, manakala harga melonjak susulan perang Trump terhadap Iran, dasar tarif yang menjadi dasar utamanya serta perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
Trump yang berang dengan keputusan itu menyifatkannya sebagai ‘kenaikan terhadap Trump’, sambil menuduh jawatankuasa penetapan kadar Fed yang dianggapnya bermusuhan membuat keputusan bermotifkan politik.
Presiden itu melancarkan serangan luar biasa terhadap kebebasan Fed sejak memegang jawatan, termasuk cuba memecat seorang Gabenor Fed dan melancarkan siasatan jenayah terhadap pendahulu Warsh dalam usahanya mendapatkan kadar faedah lebih rendah bagi merangsang aktiviti ekonomi.
Dalam kenyataan pada Rabu, Trump tidak secara langsung menghina atau mengkritik Warsh, seperti yang sering dilakukannya terhadap bekas Pengerusi Fed, Jerome Powell.
Parti Republikan pimpinan Trump berdepan ujian sengit dalam pilihan raya pertengahan penggal akan datang, dengan Demokrat berusaha merampas semula kawalan kedua-dua dewan Kongres, manakala isu ekonomi menjadi antara tumpuan utama pengundi.
Fed mengekalkan kadar faedah tidak berubah sejak Januari, memilih untuk menunggu dan menilai kesan kejutan harga tenaga akibat perang Iran, selain membiarkan kesan tarif terhadap harga meresap ke seluruh ekonomi.
Bagaimanapun, sejak Julai, semakin ramai pembuat dasar memberi petunjuk bahawa kenaikan kadar mungkin diperlukan bagi membendung inflasi, ketika perang berlarutan dan harga kekal tinggi, khususnya harga tenaga.
Pada Jumaat, indeks harga pengguna (CPI) bagi Ogos mencatat 3.4 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya, namun masih jauh melebihi sasaran jangka panjang Fed sebanyak dua peratus.
Ketua Ekonomi KPMG, Diane Swonk, berkata, inflasi telah memaksa Fed bertindak.
“Tekanan harga kekal terlalu tinggi dan berterusan untuk diabaikan pembuat dasar, manakala ekonomi serta pasaran buruh cukup kukuh untuk menampung dasar yang lebih ketat,” katanya.
Dalam SEP, Fed menaikkan unjuran bagi indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), yang menjadi ukuran inflasi pilihannya, sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 3.7 peratus menjelang akhir tahun.
Fed turut menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir tahun kepada 2.3 peratus, meningkat 0.1 mata peratusan.
Warsh mengulangi keyakinannya terhadap ‘daya tahan’ ekonomi AS, dengan menyatakan kekuatan ekonomi itu menunjukkan keupayaannya untuk menampung keadaan kewangan yang lebih ketat.
Pasaran saham AS sebahagian besarnya sudah mengambil kira kenaikan kadar pada Rabu, namun masih susut susulan pengumuman itu , sesuatu yang dijangka berlaku apabila pelabur menyesuaikan portfolio mereka dengan kenaikan kadar.
Hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun yang melonjak sejak beberapa hari kebelakangan ini susulan peningkatan ketidaktentuan mengenai inflasi jangka panjang turut melepasi paras lima peratus, menunjukkan ketidaktentuan masih menjadi faktor.
SEP Fed menunjukkan sekurang-kurangnya 12 daripada 18 pembuat dasar yang mengambil bahagian dalam unjuran itu menjangkakan satu lagi kenaikan kadar diperlukan sebelum akhir tahun.
Empat pembuat dasar menjangkakan dua lagi kenaikan kadar diperlukan.
Warsh sebelum ini mengkritik dasar Fed menerbitkan unjuran sedemikian dan tidak mengambil bahagian dalam unjuran terdahulu pada Jun.
Unjuran kali ini juga hanya membabitkan 18 pembuat dasar, menunjukkan beliau sekali lagi tidak menyumbangkan unjurannya.-AFP
