am@hmetro.com.my
Melaka: Kemalangan tahun lalu menyebabkan Muhammad Harraz Danial Mohamad Hairul Helmi, 10, kehilangan kaki kanan, namun keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar dan mengejar cita-cita.
Ibunya, Nurul Zakiah Mohd Suib, 37, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu mengambil masa hampir tiga bulan untuk menerima perubahan dalam hidup sebelum mula kembali yakin selepas menjalani fisioterapi dan kaunseling.
Menurutnya, sebelum kemalangan, Muhammad Harraz Danial adalah seorang yang yakin dan petah bercakap, namun kejadian itu membuatkan kanak-kanak itu lebih berhati-hati dan banyak memendam perasaan.
“Pada mulanya saya mahu cari sekolah yang sesuai untuk kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) kerana takut dia rendah diri.
“Tetapi apabila melihat dia seronok di sekolah, kawan-kawan membantu menolak kerusi roda dan guru-guru mengambil berat mengenai keadaannya, saya teruskan dia di situ,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Bertam, di sini, baru-baru ini.
Nurul Zakiah yang bekerja sebagai jururawat berkata, dia juga risau melihat keadaan Muhammad Harraz Danial apabila mereka keluar kerana ada orang yang memandang ke arahnya.
“Sekarang dia semakin pandai mengawal perasaan, kalau sedihp pun, dia akan cuba menyendiri dan memeluk bantal. Kami tahu dia masih bersedih, tetapi sekurang-kurangnya dia sudah tahu cara untuk mengawal emosinya,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Harraz Danial berkata, dia tidak menganggap dirinya berbeza hanya kerana kehilangan kaki kanan dan perlu menggunakan kaki palsu.
“Saya rasa saya normal-normal saja, OKU ini bukan kurang upaya tapi ‘kelebihan’ upaya.
“Walaupun kita dah macam ini, tetapi hanya belajar boleh bantu kita. Nanti dah besar orang pandang kita hebat walau keadaan kita macam ini,” katanya.
Tambah Muhammad Harraz Danial, dia mahu menjadi angkasawan apabila dewasa dan pada masa sama bercita-cita melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Saya nak jadi angkasawan, lepas itu nak jadi penceramah,” katanya yang turut berterima kasih kepada rakan-rakan dan guru yang banyak membantunya ketika berada di sekolah.
Muhammad Harraz Danial terbabit dalam kemalangan pada Februari tahun lalu ketika pulang ke kampung di Jempol, Negeri Sembilan, untuk menghadiri kenduri.
Ketika kejadian, Muhammad Harraz Danial membonceng motosikal bersama sepupunya sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda.
© New Straits Times Press (M) Bhd
