Hidalgo layak sarung jersi Harimau Malaya

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo layak untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman yang mana pihaknya mendapat pengesahan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam mengenai kelayakan Hidalgo.

Beliau menjelaskan Hidalgo kini boleh dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan dan bakal memperkuatkan Harimau Malaya bagi kempen Piala ASEAN FIFA, hujung bulan ini.

Beliau bagaimanapun berkata, seorang lagi pemain naturalisasi dari JDT, Shane Lowry masih belum mendapat pengesahan daripada badan induk bola sepak dunia itu.

“Mengenai Hidalgo kami baru dapat (surat kelulusan) dari FIFA, semalam. Senarai nama pemain Malaysia akan dikeluarkan dalam masa terdekat, berkemungkinan esok,” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa FAM, di sini, hari ini.

Kehadiran Hildalgo yang bermain di posisi sayap dijangka mampu memperkuatkan lagi skuad negara selepas sebelum ini, Bergson Da Silva dan Brad Tapp sudah disahkan layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Ketika ditanya mengenai status permohonan pertahanan Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco untuk mendapatkan status pemain naturalisasi, Noor Azman menjelaskan beliau perlu menyemak terlebih dahulu perkara itu.

“Berkenaan Gallifuoco bagi saya semak dahulu dan mendapatkan maklumat terperinci sebab mungkin permohonannya ada sedikit masalah teknikal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top