am@hmetro.com.my
Dungun: “Sehingga hari ini saya belum dimaklumkan punca kematiannya,” kata Nurul Sahuda Rusli, 30, berhubung kematian bayinya yang meninggal di sebuah Taska di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) pada 7 September lalu.
Nurul Sahuda berkata, dia amat sedih dengan kematian bayinya, Nur Helena Safya Mohamad Hazrin berusia empat bulan selepas tiga hari menghantar anaknya ke taska itu.
“Sebelum ini, saya hantar dia kepada pengasuh yang tinggal tidak jauh dari rumah kami. Bila suami pengasuh itu tidak sihat, saya mengambil keputusan menghantar anak ke taska terbabit.
“Saya hantar anak ke taska itu kira-kira jam 8 pagi. Ketika itu anak dalam keadaan sihat. Jika tidak sihat sudah pasti saya tidak akan hantar ke taska berkenaan,” katanya selepas bersama peguamnya, Mohd Hazwan Hamidun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, petang tadi.
Nurul Sahuda yang juga Penolong Pegawai Tadbir berkata, dia menerima panggilan daripada pihak taska kira-kira jam 10.13 pagi memaklumkan bayinya itu tidak sedarkan diri.
“Pihak taska memaklumkan bayi saya itu juga dalam keadaan mulut berbuih, dan badannya menjadi biru sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan berhampiran.
“Suami, Mohamad Hazrin Kadir, 31, ketika itu sedang bertugas di Sarawak. Saya bergegas ke klinik berkenaan dan sempat melihat bayi saya itu diberi bantuan pernafasan sebelum Nur Helena Safya dikejarkan ke Hospital Dungun,” katanya.
Menurutnya, ketika berada di Hospital Dungun, dia tidak dibenarkan masuk menemani anak bongsu dari dua beradik itu sebelum pegawai perubatan memaklumkan bayinya itu gagal diselamatkan.
“Saya tidak tahu apa punca bayi saya itu meninggal sehingga hari ini walaupun bedah siasat sudah dilakukan. Saya masih tertanya-tanya.
“Saya buat laporan polis ini untuk menuntut keadilan dan mengetahui punca sebenar bayi saya meninggal.
“Selagi saya tidak dapat punca kematiannya, selagi itu hati saya tidak akan tenang,” katanya.
Menurutnya, dia dan suaminya juga sudah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu namun tidak dapat melihat dengan jelas keadaan bayi mereka berikutan terlindung dengan dinding taska berkenaan.
Sementara itu, peguam Mohd Hazwan berkata, pihaknya berharap pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan siasatan berhubung dengan kejadian itu.
Menurutnya, biarpun kejadian itu sudah dua minggu berlaku, namun sehingga kini masih belum ada sebarang penjelasan lanjut daripada pihak bertanggungjawab.
“Pihak kami akan melihat sekiranya ada sebarang kecuaian daripada pihak taska itu, kita akan ambil tindakan selanjutnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
