Operasi mencari wartawan di Gunung Berapi Anak Krakatau ditamatkan

JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia secara rasmi menghentikan operasi mencari lapan orang, termasuk lima wartawan yang dihantar untuk membuat liputan letusan Gunung Berapi Anak Krakatau hampir dua minggu selepas bot laju dinaiki naiki hilang di perairan antara pulau Jawa dan Sumatera, menurut seorang pegawai pada Khamis.

“Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) menyatakan bahawa memandangkan operasi mencari dan menyelamat ini dianggap tidak lagi berkesan, dengan berat hati operasi bersama. dengan ini diisytiharkan tamat,” kata Gabenor wilayah Banten, Andra Soni kepada pemberita.

“Dari hari pertama operasi mencari dan menyelamat bersama sehingga hari kesepuluh, termasuk lanjutan selama tiga hari, dilaporkan tiada sebarang petunjuk ditemukan mengenai kapal, penumpang atau anak kapal yang berada di dalamnya,” tambahnya.

Lima wartawan Indonesia yang berada di dalam bot itu dihantar untuk merakam gambar dan video letusan Gunung Berapi Anak Krakatau, yang menyelubungi beberapa bandar dengan abu gunung berapi dan menyebabkan beberapa lapangan terbang ditutup.

Mereka bekerja untuk media tempatan dan antarabangsa, termasuk agensi berita negara ANTARA, agensi berita milik kerajaan Turkiye, Anadolu serta laman web tempatan iNews.

Kumpulan itu, yang turut terdiri daripada dua anak kapal dan seorang pemandu, bertolak menaiki bot laju dari kawasan di barat ibu negara Jakarta pada petang 7 September.

Namun, komunikasi mereka terputus di suatu lokasi di Selat Sunda tidak lama kemudian.

Wartawan terbabit ialah Muhammad Bagus Khoirunas 28; Firdaus Wajidi, 42; Donal Husni, 50; Arie Basuki, 52, dan Yudistiro Pranoto. 

Mereka ditemani juragan bot Warta, 55, anak kapal, Surakman, 60; dan pemandu Heriyanto, 49.

Firdaus bekerja terutama untuk Anadolu dan turut menjadi wartawan bebas AFP.

Agensi mencari dan menyelamat berkata, pada Rabu bahawa sejumlah 22 aset tentera laut dikerahkan untuk menyisir kawasan pencarian yang meliputi lebih 3,400 batu nautika persegi. – AFP

Scroll to Top