Bintang Hyrox mohon maaf selepas insiden cirit-birit

London: Bintang Hyrox, Joanna Wietrzyk memohon maaf selepas mencetuskan kontroversi apabila meneruskan perlumbaan walaupun membuang air besar tanpa sengaja ketika beraksi di Beijing.

Atlet Australia berusia 24 tahun itu tetap meneruskan perlumbaan meskipun najis mengalir di sepanjang kakinya ketika menyertai acara yang mencabar itu pada minggu lalu.

Joanna enggan mengalah dan akhirnya melintasi garisan penamat di tempat pertama.

Bagaimanapun, keputusannya untuk terus bersaing bersama peserta lain mencetuskan kritikan hebat dalam talian, dengan kebimbangan turut dibangkitkan mengenai risiko kesihatan yang mungkin dihadapi atlet lain.

Kini, Joanna tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya ingin menyampaikan permohonan maaf yang tulus kepada rakyat China, rakan-rakan pesaing saya, penonton dan penganjur Hyrox atas apa yang berlaku ketika perlumbaan di Beijing.

“Apabila melihat kembali kejadian itu, saya kesal kerana tidak keluar daripada trek. Saya sedar bahawa saya sepatutnya membuat keputusan yang berbeza.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan untuk meneruskan perlumbaan dan amat kesal atas rasa tidak selesa serta gangguan yang saya timbulkan.

“Saya belajar daripada pengalaman ini, termasuk mengingati bahawa kehidupan ini lebih daripada sekadar perlumbaan serta mengetahui bila masa yang tepat untuk berundur.

“Selepas membuat pertimbangan semula, saya memutuskan untuk menarik diri daripada perlumbaan itu secara retrospektif dan melepaskan mata yang saya peroleh.

“Ia sangat bermakna buat saya, lebih daripada yang mampu saya ungkapkan ketika ini. Saya akan mengambil sedikit masa untuk pulih, bermuhasabah dan menjaga diri serta keluarga saya, jauh daripada segala kebisingan,” tulisnya di Instagram.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top