hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menolak naratif bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan pentadbiran terdahulu sekadar untuk meraih modal politik berhubung isu pengurusan krisis pelarian Rohingya di Malaysia.
Naib Ketua AMK, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata pihaknya meneliti kenyataan terbaharu yang melontarkan pelbagai tuduhan terhadap Perdana Menteri berhubung perkara berkenaan.
Beliau berkata, dakwaan langkah kerajaan hari ini ‘memalukan, tidak berakhlak dan mencemar imej negara’ gagal mengambil kira realiti keselamatan domestik dan kerumitan diplomasi serantau yang dihadapi kerajaan sejak sekian lama.
“AMK menolak naratif bahawa Perdana Menteri menyalahkan pentadbiran terdahulu sekadar untuk meraih modal politik. Sejarah menunjukkan langkah kemanusiaan yang diambil pada masa lalu tidak disusuli dengan sebarang pelan pengurusan sempadan atau ‘exit strategy’ yang jelas.
“Justeru, ini adalah satu kelompongan dasar yang kesannya masih ditanggung negara sehingga hari ini. Apabila Anwar ketika di dalam penjara pada 2016 menggesa tindakan diambil, beliau menuntut campur tangan kemanusiaan yang strategik dan penyelesaian politik di peringkat ASEAN, bukan dasar populis yang dibiarkan tanpa pemantauan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, justeru, tiada percanggahan antara pendirian beliau ketika itu dengan langkah berstruktur yang sedang dilaksanakan sekarang.
Katanya, dakwaan yang menyamakan rundingan diplomatik bersama pemimpin Myanmar dengan hubungan bersama rejim Israel adalah perbandingan tidak tepat dari segi undang-undang dan diplomasi.
“Myanmar adalah negara jiran serantau kita dalam ASEAN dan satu-satunya jalan sah untuk membolehkan penghantaran pulang etnik Rohingya ke tanah asal mereka adalah melalui persetujuan Kerajaan ke Kerajaan (G2G).
“Enggan berunding dengan Myanmar hanya akan mengekalkan status pelarian ini di Malaysia tanpa penyelesaian, malah keadaan itu juga sesuatu yang tidak adil kepada pelarian itu sendiri mahupun rakyat Malaysia,” katanya.
Mohammed Taufiq berkata, berhubung tuduhan pelanggaran prinsip ‘non-refoulement’, usaha yang digerakkan Perdana Menteri adalah penghantaran pulang secara berperingkat.
Katanya, ia bermula dengan 5,000 orang yang juga hasil persetujuan rasmi Myanmar untuk menerima mereka semula disertai proses pemantauan dan kerjasama serantau.
“Ini adalah langkah berstruktur yang berbeza sama sekali daripada tindakan pengusiran secara membuta tuli.
“Di sebalik komitmen kemanusiaan Malaysia yang melangkaui kapasiti domestik, proses penempatan semula pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) ke negara ketiga kekal bergerak pada kadar amat mengecewakan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan itu berkata, bagi merapatkan jurang itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengambil langkah proaktif menerusi Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bermula 1 Januari 2026 untuk mengurus pangkalan data identiti serta biometrik pelarian secara mandiri dan berdaulat.
“AMK memahami kegusaran sebahagian masyarakat tempatan berhubung kesan sosial ketiadaan kerangka pengurusan yang jelas selama ini, maka kegusaran ini amat wajar ditangani melalui dasar yang teratur, bukan diabaikan begitu sahaja.
“Reformasi sebenar bukan sekadar melaungkan slogan hak asasi manusia untuk didengari di telinga masyarakat antarabangsa, tetapi keberanian membuat keputusan sukar dan tidak popular demi melindungi kelangsungan ekonomi, keselamatan, dan masa depan rakyat negara, sekali gus tidak mengetepikan tanggungjawab kemanusiaan Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
