hafizithnin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harga minyak yang tinggi dan jika meningkat boleh memberi cabaran kepada ruang fiskal negara terutama berikutan peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api, sekali gus berpotensi mengecilkan ruang perbelanjaan pembangunan dan program lain, kata penganalisis.
Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zaleha Yazid berkata, semakin besar jurang antara harga pasaran dengan harga bersubsidi, semakin tinggi tanggungan yang perlu ditanggung kerajaan.
Namun, jelasnya, kenaikan harga minyak dunia tidak semestinya memberi kesan negatif sepenuhnya kepada kedudukan fiskal negara kerana Malaysia juga berpotensi menerima tambahan hasil berkaitan petroleum apabila harga komoditi itu meningkat.
Bagaimanapun, katanya, tambahan hasil itu perlu dilihat bersama peningkatan kos subsidi dan kesan kenaikan harga terhadap keseluruhan ekonomi.
“Sekiranya harga minyak kekal tinggi sehingga 2027, kerajaan mungkin perlu menyediakan ruang fiskal atau peruntukan kontingensi lebih besar bagi menghadapi peningkatan perbelanjaan subsidi.
“Langkah itu penting kerana peningkatan perbelanjaan subsidi boleh mengecilkan ruang kerajaan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan program lain,” katanya mengulas kesan tanggungan subsidi kerajaan jika harga minyak kekal tinggi dan mencecah AS$120 setong.
Zaleha berkata, Belanjawan 2027 juga perlu mengambil kira kesan tidak langsung kenaikan harga minyak, terutama terhadap kos pengangkutan, logistik dan harga barangan yang akhirnya boleh memberi tekanan kepada pengguna.
“Keadaan itu, boleh meningkatkan keperluan terhadap bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) atau mekanisme lain bagi membantu kumpulan yang paling terkesan.
“Cabaran utama Belanjawan 2027 ialah keseimbangan iaitu menggunakan tambahan hasil petroleum secara berhemah jika ada, mengawal peningkatan subsidi, melindungi kuasa beli rakyat dan pada masa sama tidak mengorbankan perbelanjaan pembangunan jangka panjang,” katanya.
Mengulas konflik di Asia Barat, Zaleha berkata, perkembangan itu meningkatkan ketidaktentuan dalam merangka Belanjawan 2027 berikutan risiko gangguan bekalan dan laluan perdagangan minyak utama yang boleh menyebabkan harga minyak berubah dengan cepat.
Katanya, kerajaan perlu berhati-hati menetapkan andaian harga minyak kerana keadaan geopolitik masih sukar dijangka.
“Situasi itu turut menunjukkan kepentingan Belanjawan 2027 mempunyai ruang fiskal dan perancangan berdasarkan beberapa senario dan bukan hanya bergantung kepada satu andaian harga minyak.
“Jika konflik reda, harga boleh kembali menurun, tetapi jika konflik berpanjangan atau bertambah buruk, kerajaan perlu bersedia menghadapi tekanan kos yang lebih tinggi,” katanya.
Tambah Zaleha, dalam tempoh masa sederhana ketidaktentuan harga minyak akibat konflik Asia Barat turut menunjukkan keperluan untuk terus mengurangkan kebergantungan Belanjawan 2027 terhadap hasil berkaitan petroleum.
© New Straits Times Press (M) Bhd
