KUALA LUMPUR – Kenderaan yang membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilihat meninggalkan Istana Negara sekitar jam 9.40 pagi, hari ini.
Kedua-duanya sebelum ini dilihat memasuki pekarangan Istana Negara bagi menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang berlangsung pagi ini.
Kenderaan membawa Hannah tiba sekitar jam 7.48 pagi, manakala Razarudin turut dilihat memasuki pekarangan Istana Negara sebelum mesyuarat bermula.
Turut hadir ialah Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang merupakan antara anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Mesyuarat hari ini menjadi tumpuan susulan permohonan pengampunan terbaharu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, setakat jam 9.40 pagi, belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai keputusan mesyuarat berkenaan.
Pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-63 pada 11 September lalu, pertimbangan terhadap permohonan Najib ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
Dalam mesyuarat sama, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan kepada 65 banduan lain. – Awani
