MELAKA – “Duyong bukan milik mana-mana parti dan bukan milik mana-mana individu. Siapa yang akan mewakili Duyong, akhirnya rakyat Duyong yang tentukan.”
Demikian kata Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong ketika mengulas reaksi terhadap kenyataannya sebelum ini berhubung hasrat DAP untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Duyong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Menurutnya, kenyataan dibuat sebelum ini menjawab soalan media bahawa DAP berusaha melakukan terbaik dan berusaha mendapatkan sokongan rakyat.
“Itu sahaja. Tetapi bila ia dilaporkan sebagai mahu ‘rampas’ Duyong, akhirnya timbul pula pelbagai reaksi dan kemarahan.
“Sampai ada yang kata mahu ‘lawan habis-habisan’, malah ada yang mahu DAP kalah deposit. Bagi saya, tidak perlu sampai begitu,” katanya memerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, sekiranya DAP mahu bertanding di sesuatu kerusi, parti itu mempunyai hak untuk berbuat demikian dan persaingan seharusnya berlaku secara sihat berdasarkan dasar, rekod kerja serta khidmat kepada rakyat.
“Kalau mahu bertanding, kita bertanding. Kalau mahu bersaing, kita bersaing.
“Bersainglah dengan dasar, dengan rekod kerja, dengan khidmat kepada rakyat. Tak perlu cipta musuh dan tak perlu timbulkan kebencian,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata, beliau percaya rakyat Duyong cukup matang untuk menilai sendiri setiap parti dan calon yang bertanding tanpa perlu ditentukan siapa yang patut dipilih.
“Biar rakyat dengar, biar rakyat nilai dan biar rakyat tentukan.
“Saya tidak takut untuk bersaing dan saya juga tidak marah kalau ada yang mahu bersaing dengan kita kerana dalam demokrasi, itu memang hak semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap perbezaan politik tidak menyebabkan hubungan sesama masyarakat menjadi renggang, khususnya sepanjang tempoh PRN.
“Cuma satu perkara saya harap kita sama-sama jaga, jangan kerana pilihan raya, kita sampai bermusuh sesama sendiri.
“Kita boleh berbeza politik dan kita boleh berlawan dalam pilihan raya, tetapi akhirnya kita semua masih mahu yang terbaik untuk rakyat Duyong.
“Pertandingan biar matang. Keputusan biar di tangan rakyat,” katanya.