PUTRAJAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dijangka bersidang petang ini bagi membincangkan beberapa agenda politik semasa termasuk hala tuju gabungan Kerajaan Perpaduan susulan beberapa perkembangan yang memberi kesan terhadap hubungan antara parti-parti dalam gabungan itu.
Difahamkan mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Perdana Putra di sini jam 5.30 petang ini.
Perhatian kini terarah kepada hala tuju hubungan PH dengan BN selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencetuskan persoalan mengenai masa depan kerjasama itu ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, baru-baru ini.
Dalam ucapan penggulungan PAU 2026 pada 12 September lalu, Ahmad Zahid memberi dua pilihan sekiranya ada pihak mahu menamatkan kerjasama dengan UMNO, iaitu mendapatkan mandat baharu melalui Pilihan Raya Umum (PRU) atau mengeluarkan UMNO secara rasmi daripada Kerajaan Perpaduan menerusi undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Malah, Ahmad Zahid turut mencabar pihak yang mahu menamatkan kerjasama dengan parti berkenaan supaya bertindak segera, termasuk membubarkan Parlimen bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid selepas PAU 2026 menegaskan UMNO dan BN mengambil pendekatan profesional dalam menghadapi perbezaan pandangan dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, selain menyatakan komitmen untuk terus bersama kerajaan sehingga tamat penggal.
Kenyataan itu kemudian mendapat perhatian Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mencadangkan supaya Majlis Presiden PH mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkembangan politik berkenaan.
Anthony berkata beberapa kenyataan yang dibuat pada PAU 2026 menimbulkan kebimbangan terhadap kepastian dan kestabilan politik negara, selain berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur serta orang ramai.
Beliau berpandangan Anwar perlu menjelaskan perkembangan berkenaan kepada semua parti komponen kerajaan bagi memastikan hala tuju pentadbiran jelas dan semua pihak bergerak dalam arah yang sama.
Susulan itu, mesyuarat Majlis Presiden PH petang ini dilihat menjadi antara pertemuan penting bagi pimpinan gabungan berkenaan menyelaras pendirian berhubung perkembangan politik semasa, termasuk hubungan dengan BN dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Sinar Harian sedang menghubungi beberapa pemimpin politik PH untuk pengesahan.

