Sumbang secara sukarela, jaga adab dan hormati syarat ditetapkan – Wanita UMNO

SHAH ALAM – Wanita UMNO mengajak seluruh kepimpinan dan ahli di semua peringkat untuk menyumbang secara sukarela mengikut kemampuan membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melunaskan denda sebanyak RM50 juta.

Menurut Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, pihaknya menyokong penuh inisiatif yang diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk melancarkan tabung bagi tujuan tersebut.

“Bersama-sama meringankan beban Datuk Seri Najib dan keluarga dengan menyumbang secara sukarela mengikut kemampuan melalui saluran rasmi yang akan diumumkan oleh parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noraini turut menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Dalam masa sama, pihaknya merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan Baginda berhubung keputusan berkenaan.

“Keputusan ini membawa kelegaan besar kepada Datuk Seri Najib, keluarga serta seluruh keluarga UMNO yang tidak pernah berhenti mendoakan beliau.

“Marilah kita menyambut perkembangan ini dengan penuh tertib, menjaga adab dan terus menghormati segala proses serta syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Scroll to Top