JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mencadangkan agar ahli UMNO menderma RM50 seorang bagi mengumpul dana membayar denda dikenakan terhadap bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak.
Mohd. Puad berkata, jumlah denda RM50 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu boleh dicapai dengan mudah sekiranya satu juta ahli parti berkenaan berbuat demikian.
“Saya sokong saranan Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) bahawa UMNO akan buat kutipan dana untuk bayar denda RM50 Juta yang Najib kena bayar.
“Walaupun saya bukan lagi ahli UMNO, insya-Allah saya pasti akan memberi sumbangan. Saya tetap yakin Najib mangsa dendam politik Mahathir.
“Oleh kerana UMNO ada ahli melebihi tiga juta orang, maka alangkah baik kalau sejuta ahli menyumbang RM50. Dengan mudah RM50 juta sudah terkumpul. Diharap saya tidak dicop penyibuk,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini memutuskan Najib mendapat pengampunan bersyarat.
Beliau dilaporkan perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.
Sementara itu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid memberitahu, UMNO akan melaksanakan kutipan dana bagi membantu meringankan beban Najib melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.-UTUSAN

