Lebih lapan juta pengguna TNB dilindungi daripada AFA, SST

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menikmati perlindungan bil elektrik susulan peningkatan aras penggunaan daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad berkata, peningkatan aras perlindungan itu membabitkan tambahan hampir satu juta pengguna domestik berbanding sebelum ini.

Katanya, semua pengguna domestiknya yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan dikecualikan daripada caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), cukai jualan dan perkhidmatan (SST) lapan peratus serta caj peruncitan RM10.

“Perlindungan tambahan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026, dengan pengurangan bagi penggunaan September akan dikreditkan dalam bil Oktober.

“Sepanjang tempoh ini, TNB dijangka menampung caj AFA dan caj peruncitan berjumlah kira-kira RM120 juta hingga RM150 juta,” katanya dalam taklimat media di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman Facebooknya semalam mengumumkan langkah menambah baik subsidi bil elektrik dengan memperluaskan tahap perlindungan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan.

Katanya, ia berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, peningkatan aras perlindungan itu bertujuan mengurangkan impak penggunaan elektrik terhadap kos sara hidup pengguna.

Pada masa sama katanya, langkah itu memastikan pengguna terus dilindungi daripada perubahan kadar AFA yang dipengaruhi ketidaktentuan kos bahan api global susulan krisis di Asia Barat.

“Ia juga mengambil kira peningkatan penggunaan elektrik berikutan cuaca panas dan jerebu yang sedang melanda ketika ini.

“Sebagai syarikat utiliti nasional, keutamaan TNB adalah memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap.

“Pada masa yang sama, TNB akan terus memainkan peranan secara proaktif untuk membantu pengguna mengurus penggunaan elektrik secara lebih cekap melalui akses kepada maklumat, teknologi dan pilihan penggunaan tenaga yang bersesuaian,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya mengekalkan amalan kecekapan tenaga, khususnya ketika negara berdepan cuaca panas dan jerebu.

Antara langkah disarankan ialah memantau penggunaan menerusi aplikasi myTNB, menetapkan penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta menggunakan peralatan elektrik berpenarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang.

Pengguna juga boleh beralih kepada skim Masa Penggunaan (TOU) bagi memanfaatkan kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak, selain mempertimbangkan pemasangan solar bumbung menerusi inisiatif Solar ATAP dan SuRIA Home.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top